Demi capaian internet, pokok dan kandang kambing jadi tempat belajar
Abdul Hadi Awang
November 13, 2020 18:44 MYT
November 13, 2020 18:44 MYT
BALING: Masalah capaian internet yang lemah bukan sahaja menjadi masalah utama dalam kalangan pelajar-pelajar di kawasan pedalaman Sabah seperti yang tular beberapa bulan lalu.
Malah di Kampung Tembak B, Baling, Kedah, sekumpulan mahasiswa dari beberapa universiti awam dan swasta turut mengalami masalah sama khususnya dalam melaksanakan sesi pembelajaran secara atas talian.
Bagi Saiful Izwan Mohd Helmi, 21, dia menjelaskan, pelbagai usaha telah dilakukannya sejak awal pelaksanaan kelas secara atas talian dalam memastikan talian internet berada pada tahap yang baik.
Antara yang dilakukannya adalah dengan melaksanakan sesi pembelajaran di kawasan bukit dan kandang kambing di belakang rumahnya, selain melayari internet hanya pada waktu awal pagi.
Akibat pelbagai masalah yang timbul khususnya dari segi keselamatan apabila berada di luar kawasan rumah, Saiful Izwan mengambil keputusan untuk meletakkan "router wi-fi" di atas sebatang pokok bagi memastikan capaian internet dapat diterima sekaligus melancarkan sesi pembelajarannya saban hari.
“Lepas PKP, semenjak pengajian online dalam bulan 4 atau 5, payah (nak panjat pasang), sebelum ni saya letak di kandang kambing, tetapi selepas itu internet perlahan. Saya cuba letak atas pokok, laju juga pada waktu pagi tetapi pada lepas waktu tengah hari dalam pukul 2, 3 petang sampai malam akan jadi perlahan," katanya ketika ditemui di sini.
Bagi dua rakannya pula, mereka turut mengalami nasib yang sama terutama membabitkan tugasan untuk menghantar video yang mana mengambil masa sekitar 3 hingga 4 jam.
Mereka turut mengambil inisiatif lain untuk keluar ke kafe siber terdekat di Pekan Kuala Ketil yang dianggarkan sejauh 10 hingga 15 kilometer dari kampung mereka.
Apa yang diharapkan adalah, penambaikan dari segi proses penerimaan capaian internet memandangkan banyak perkara yang dilaksanakan dalam era norma baharu ini melibatkan penggunaan teknologi Internet.
Sementara itu, bagi pesara tentera Elias Salleh, 61, dia menjelaskan, akibat capaian internet yang lemah di kampung mereka, dia terpaksa berjauhan dengan anak bongsunya yang akan menghadapi peperiksaan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM), Mac depan.
Tindakan untuk membenarkan anaknya tinggal bersama datuknya di Pekan Sik tidak lain tidak bukan adalah bagi memastikan sesi pembelajaran secara atas talian dapat berjalan dengan baik.
"Sebelum ini anak dah beritahu saya, masalah internet di kawasan kampung saya di Kampung Tembak B ini memang sukar sekali untuk dia nak belajar.
“Anak saya sekarang bersekolah Tingkatan 6 di sekolah menengah di Sik, sekarang ini dia duduk di rumah datuknya di sana. Memang sukar sikit duduk di kampung ini, sebab internet apa semua sekali, mereka hendak belajar melalui online. Dia lebih selesa duduk rumah datuknya, belajar di sana," katanya lagi.