Demi capaian internet, pelajar Lubok Antu redah bahaya hutan belantara

Syafik Shukri Jalil
November 18, 2020 10:26 MYT
Bagaimanapun usaha menjayakan proses ini bukan mudah kerana mereka berdepan pelbagai cabaran seperti ketidaktentuan cuaca dan ancaman binatang buas. FOTO: Facebook / Nanga Sumpa, Lubok Antu, Sarawak.
KUALA LUMPUR: Ketidaktentuan cuaca dan ancaman binatang buas antara cabaran dihadapi lebih 20 pelajar sekolah rendah dan menengah yang menetap di Nanga Sumpa dan Nanga Jambu yang terletak di pedalaman Lubok Antu, Sarawak.
Malah, ‘ekspedisi’ itu turut disertai seorang guru dan ibu bapa pelajar terbabit dengan meredah hutan dan melalui anak-anak sungai.
Cabaran dan rintangan itu diselurusi mereka hanya kerana mahu mendapatkan capaian internet yang baik.
Semua itu adalah inisiatif seorang guru dari SMK Lubok Antu, Sambau Dugat, membawa pelajar sekolah di kampung berkenaan ‘mengembara’ di kawasan hutan belantara demi mendapatkan capaian internet yang baik sekali gus mampu menyiapkan lembaran kerja Home Based Learning ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ketika ini.
“Banyak cabaran yang kami tempuhi antaranya laluan sungai yang dalam, cerun bukit yang curam dan kami perlu cepat kerana keadaan cuaca yang tidak menentu.
“Malah terdapat juga ancaman binatang buas seperti Orang Utan dan beruang tetapi tidak mengapa kerana kami juga ditemani ibu bapa murid-murid yang terlibat,” tambah Sambau ketika dihubungi Astro AWANI baru-baru ini.
Menurut Sambau, perjalanan menjayakan agenda PDP itu memakan masa dua jam tiga puluh minit.
“Saya perhatikan murid-murid di kedua-dua kampung ini mengalami masalah mendapatkan maklumat daripada para guru secara dalam talian.
“Hal ini sekali gus menyekat mereka daripada mengikuti Home Based Learning. Maka dengan itu tercetusnya idea untuk membawa mereka ke kawasan Bukit Resak untuk mendapatkan akses kepada internet,” katanya.
Sehubungan itu, besar harapan Sambau agar akses internet yang baik dapat disediakan dalam usaha memudahkan proses PDP para pelajar di kawasan pedalaman.
Dia juga berharap agar para guru yang berkhidmat di kawasan pedalaman dapat mencari inisatif bagi memastikan para pelajar tidak ketinggalan.
“Saya sangat berharap ada pertimbangan daripada pihak terlibat dalam usaha membantu murid-murid di kawasan pedalaman untuk mendapatkan akses internet dan memudahkan urusan mereka.
“Kepada guru-guru pula, sama-samalah kita mencari alternatif untuk kita mendekati, memberi maklumat dan mengajar serta menolong mereka mendapatkan maklumat.
“Kalau sekadar menyediakan lembaran kerja tanpa pemantauan, saya rasa mungkin tidak berkesanlah proses Home Based Learning ini,” ujarnya lagi.
#PKPB #home based learning #kesukaran pelajar pedalaman #pelajar sekolah di Nanga Sumpa #pelajar sekolah di Nanga Jambu #akses internet di Sarawak #proses PDP di kawasan pedalaman