Demi bapa tersayang, anak sanggup berhenti sekolah

Vivi Sumanti
Februari 28, 2018 12:32 MYT
Ismail Zakaria, 63 tahun kini menghidap penyakit barah paru-paru tahap empat dan tidak lagi mampu bekerja dan hanya terlantar. - Foto Astro AWANI/Vivi Sumanti
Kehidupan dua remaja tidak seperti rakan seangkatan lain apabila terpaksa berkorban menjaga bapa mereka yang menderita sakit kronik.
Bukan sahaja itu, salah seorang daripada mereka harus melupakan cita-cita buat seketika apabila terpaksa berhenti sekolah demi menjaga bapa tersayang.
Kisah meruntun hati ini berlaku di Kampung Kandis, Bachok melibatkan seorang bapa tunggal, Ismail Zakaria, 63 tahun kini menghidap penyakit barah paru-paru tahap empat dan tidak lagi mampu bekerja dan hanya terlantar mengharapkan dua anaknya mencari rezeki serta menguruskan dirinya.
Lebih memilukan Ismail apabila dia terpaksa menyerahkan anak bongsunya Mohamad Azwan untuk dijaga oleh saudara mereka dan bersekolah di Kuantan, Pahang.
Bagi anak sulungnya, Norhazirah yang bekerja sebagai tukang cuci di sebuah resort melupakan keseronokan pada usia remaja demi tanggungjawab kepada keluarga.
Manakala adiknya Mohamad Alias, 15 tahun melupakan hasrat untuk belajar kerana mengambil keputusan berhenti sekolah bagi membantu kakaknya menguruskan kehidupan seharian mereka yang kini tinggal di sebuah rumah berdindingkan papan lapis dan dibina oleh penghulu kampung berkenaan.
Ketika Norhazirah keluar bekerja Mohamad Alias akan menggalas tugas selaku suri rumah kerana ibu mereka sudah meninggal dunia lebih setahun lalu.
"Rasa susah juga sebab kerja tak menentu tempat tinggal menumpang orang tak tahu lah, pikir jugak masa depan, abah pula sakit barah, lama dah tak boleh bekerja, emak lebih setahun dah tiada”, katanya kepada Astro Awani ketika ditemui di rumah mereka di Kampong Kandis, di sini.
Bagi Muhamad Alias pula, dia berasa sedih apabila terpaksa menamatkan lebih awal persekolahan dan masih mahiu bersekolah serta menduduki peperiksaan PT3 tahun ini.
"Apa yang penting sekarang saya mahu jaga abah. Masak, basuh pinggan dan mandikan abah. Semua kerja ini saya lakukan jika kakak pergi kerja," katanya.
Mereka meniti hari-hari mendatang dengan mengharapkan pendapatan anak sulungnya sahaja bahkan keinginan untuk tinggal lebih selesa dengan kehidupan lebih terjamin umpama mengharapkan sesuatu yang mustahil.
Keluarga ini mendapat bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM350 sebulan untuk menampung perubatan ayahnya manakala kisah mereka turut diajukan kepada Ketua Pergerakkan Puteri UMNO, Datuk Mas Emieryati Shamsuddin yang menghulurkan sumbangan segera bagi menampung perbelanjaan mereka sekeluarga.
#Bachok #barah paru-paru #berhenti sekolah #Ismail Zakaria #Kampung Kandis #Mohamad Alias #Norhazirah #sakit kronik
;