"Demi Allah, demi Rasul saya tidak bohong... saya tidak terima surat Edmund" - Abu Zahar

Umavathi Ramayah
Januari 5, 2022 11:25 MYT
Abu Zahar Ujang memberitahu, Edmund Terence Gomez boleh membuat laporan polis berhubung isu dibangkitkan jika beliau tidak percaya dan yakin kepada panel PPPR. - Gambar Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Tan Sri Abu Zahar Ujang mendedahkan beliau tidak menerima apa-apa surat daripada bekas anggota Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah (PPPR), Prof Dr Edmund Terence Gomez berhubung isu dakwaan pemilikan saham Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.
Sehubungan itu, Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) meminta Edmund untuk memberikan salinan surat didakwa dihantar kepada beliau sebagai bukti.
Menurutnya, selepas peletakan jawatan, beliau mengarahkan Pegawai Sekretariat SPRM menghubungi dan menjemput Edmund berbincang isu-isu dibangkitkan secara bersemuka, namun tidak dipersetujui.
"Saya sentiasa lebih terbuka dan telus untuk berbincang dengan Edmund dalam hal seumpama ini, kerana saya tidak akan berkompromi dan melindungi sesiapa sekiranya adanya salah laku terhadap mana-mana pegawai SPRM tanpa mengira kedudukan atau jawatan.
"Demi Allah, demi Rasul saya menyatakan saya tidak akan berbohong, saya tidak akan nafikan kalau saya terima (surat), kenapa perlu saya nafikan, tapi kalau saya tak terima bagaimana saya nak kata saya terima?
"Pendirian saya ialah mempertahankan dan melindungi imej SPRM daripada terjejas dan bukannya melindungi pegawainya yang membuat salah laku.
"Saya berpendapat segala aduan mesti disertakan bukti kukuh dan saksi boleh dipercayai untuk dikemukakan kepada LPPR atau Jawatankuasa Aduan (JKA)," katanya dalam sidang media khas di Ibu Pejabat SPRM di sini, pada Rabu.
Abu Zahar turut memberitahu, Edmund boleh membuat laporan polis berhubung isu dibangkitkan jika beliau tidak percaya dan yakin kepada panel PPPR.
Edmund meletak jawatan sebagai ahli panel PPPR bulan lalu kerana mendakwa jawatankuasa itu gagal membincangkan laporan membabitkan pegawai tinggi SPRM.
Dakwanya, beliau sudah menghantar sekurang-kurangnya lima lampiran surat berhubung salah laku Azam dalam e-melnya kepada Pengerusi PPPR, Tan Sri Borhan Dolah, selain lampiran itu dihantar kepada Abu Zahar.
#Azam Baki #SPRM #saham #menafikan