Demam denggi: Tiga kematian direkodkan pada ME-13

Astro Awani
April 6, 2024 09:31 MYT
Orang ramai dinasihat supaya memastikan persekitaran premis mereka bebas dari pembiakan aedes dan melakukan aktiviti cari dan musnah tempat berpotensi pembiakan nyamuk itu. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR : Tiga kematian akibat komplikasi demam denggi dilaporkan pada Minggu Epidemiologi (ME) ke-13 tahun 2024.
Menurut Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan, ini menjadikan kes kematian akibat demam denggi berjumlah 31, berbanding 18 kematian bagi tempoh sama tahun lepas.
Dalam pada itu, jumlah kes demam denggi yang dilaporkan adalah sebanyak 2,579 berbanding 3,041 kes pada minggu sebelumnya.
"Kumulatif kes demam denggi yang dilaporkan sehingga ME ke-13 adalah 44,144 berbanding 28,587 kes bagi tempoh sama tahun 2023.
"Bilangan lokaliti hotspot yang dilaporkan pada ME ke-13 adalah sebanyak 135 berbanding 141 lokaliti hotspot pada minggu sebelumnya.
"Dari 135 lokaliti yang dilaporkan, 114 di Selangor, 10 di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur/Putrajaya, lima di Pulau Pinang, empat di Negeri Sembilan dan dua di Kedah," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Bagi survelan chikungunya, tiada kes direkodkan pada ME ke-13. Jumlah kumulatif kes chikungunya sehingga kini adalah 13.
Sehubungan itu, Muhammad Radzi menasihatkan orang ramai memastikan persekitaran premis bebas dari pembiakan aedes dan melakukan aktiviti cari dan musnah tempat berpotensi pembiakan nyamuk itu.
Ia termasuk melupus atau mengitar semula bekas-bekas berpotensi pembiakan aedes di dalam dan luar rumah secara berjadual, sekurang kurangnya 10 minit sekali seminggu.
#denggi #aedes #kematian #chikungunya
;