Delegasi Malaysia tidak anggap tuduhan curi tarian Ngajat satu isu
Astro Awani
Oktober 10, 2014 08:00 MYT
Oktober 10, 2014 08:00 MYT
Delegasi Malaysia ke Pesta Buku Frankfurt tidak melihat tuduhan media di Indonesia kononnya Malaysia mencuri kebudayaan republik itu pada latar belakang gerai pameran Majlis Kebangsaan Buku Malaysia (MKBM) sebagai satu perkara yang perlu dijadikan isu.
Ketua Pegawai Eksekutif Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM), Khair Ngadiron berkata persamaan budaya itu berlaku dengan tidak sengaja apabila masyarakat Iban memilih garis sempadan untuk mereka tinggal.
"Saya serta delegasi Malaysia seluruhnya tidak melihat itu sebagai satu perkara yang perlu dijadikan isu antarabangsa, kerana Dayak adalah penduduk Nusantara yang awalnya dahulu tidak dengan sengaja memilih di garis sempadan mana mereka mahu berada," katanya kepada Astro AWANI.
Delegasi Malaysia ke pesta buku itu diketuai oleh Majlis Buku Kebangsaan Malaysia yang turut disertai oleh ITBM. Pesta buku itu yang bermula pada Rabu disertai oleh lebih 100 buah negara.
Beberapa media di Indonesia pada Rabu mendakwa Malaysia telah 'mencuri' tarian Ngajat daripada suku Dayak di Kalimantan dan moto republik itu, Bhinneka Tunggal Ika (berbeza-beza tetapi tetap satu) sebagai latar belakang gerai di pesta buku antarabangsa itu.
Gerai pameran Malaysia di pesta buku terkenal dunia itu memaparkan foto lima penari termasuk seorang yang menarikan tarian Ngajat etnik Iban dengan slogan "Unity in Diversity".
Menurut Khair, etnik Iban yang juga dikenali sebagai Dayak Laut berada di sebelah sempadan Malaysia "atas keperluan geografi dan tuntutan survival, sekali gus menyebabkan kependudukan mereka di merata kawasan dalam lingkungan nusantara".
Katanya, masyarakat Dayak di setiap lokasi itu membentuk budaya, tamadun serta pandangan dunianya sendiri termasuk Dayak di Sarawak.
"Dan Sarawak adalah sebahagian daripada Malaysia," katanya lagi.
Laporan portal berita Suara Pembaruan di Indonesia pada Rabu menyifatkan latar belakang gerai Malaysia itu sebagai menjolok mata dan menimbulkan pertanyaan.
"Gambar dan tema yang terpampang jelas di booth Malaysia itu tentu menimbulkan pertanyaan. Sebab, suku Dayak jelas berada di Indonesia. Sedangkan, tema "Unity in Diversity" yang bererti berbeza-beza tetapi satu merupakan moto atau simbol bangsa Indonesia yakni Bhinneka Tunggal Ika," lapor portal berita itu.
Laporan sama disiarkan oleh portal Berita Satu dan ruangan blog di portal berita Kompas.
Malaysia sebelum ini pernah dituduh oleh media di Indonesia mencuri beberapa kebudayaan serumpun daripada pakaian seperti batik, makanan seperti rendang sehinggalah tarian dan wayang kulit.
Pada November 2007, segelintir pihak di Indonesia menuduh Malaysia mendakwa barongan sebagai tarian tempatan yang dipaparkan dalam iklan pelancongan Malaysia Truly Asia.
Tuduhan itu membawa kepada siri tunjuk perasaan di hadapan Kedutaan Malaysia di Jakarta. Sepanjang episod itu, Malaysia menegaskan bahawa ia tidak pernah mendakwa tarian barong sebagai tarian tempatan biarpun ia wujud di kalangan masyarakat Jawa yang menetap di Johor dan Selangor.