Delegasi Malaysia jalan kajian empirikal pengasingan kuasa Peguam Negara, Pendakwa Raya di UK
Syafik Shukri Jalil
Mac 13, 2025 15:00 MYT
Mac 13, 2025 15:00 MYT
Azalina dan delegasi Malaysia diraikan menerusi satu pertemuan dengan Speaker House of Commons (Dewan Rakyat) United Kingdom, Lindsay Hoyle sebagai kunjungan balas selepas lawatan beliau ke Parlimen Malaysia pada 19 Februari lalu.
KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) kini berada berada di London, United Kingdom bersama delegasi Malaysia untuk kajian empirikal cadangan pengasingan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya negara itu.
Ringkasan AI
- Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, bersama delegasi Malaysia berada di London untuk mengkaji pengasingan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya.
- Lawatan ini adalah siri akhir selepas lawatan ke Kanada dan Australia pada 2024, termasuk sesi perbincangan meja bulat dengan pakar perundangan dari University College London dan Universiti Kebangsaan Malaysia.
- Delegasi Malaysia bertemu dengan Speaker House of Commons, Lindsay Hoyle, dan Peguam Negara bagi England dan Wales untuk membincangkan reformasi parlimen dan peranan Peguam Negara serta Pendakwa Raya.
Menerusi satu kenyataan, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, lawatan siri akhir selepas dua lawatan ke Kanada dan Australia pada 2024 itu adalah bagi mengkaji dengan lebih terperinci mengenai konsep yang diamalkan di negara itu.
Selain itu, ia bagi membolehkan amalan negara itu dijadikan sebagai rujukan amalan terbaik (best practice) dalam usaha untuk mengenal pasti model yang sesuai bagi Malaysia.
‘’Kajian empirikal ini telah dimulakan dengan sesi perbincangan meja bulat anjuran bersama oleh BHEUU, JPM, University College London dan Universiti Kebangsaan Malaysia bersama pakar-pakar perundangan dan ahli akademik yang memfokuskan kepada struktur dan fungsi Peguam Negara dan Pendakwa Raya yang diamalkan di Malaysia dan United Kingdom.
‘’Sesi yang dikendalikan oleh Professor Jeff King, Professor Fakulti Undang-Undang, University College London telah disertai seramai lebih daripada tiga puluh (30) orang peserta daripada Malaysia dan United Kingdom,’’ katanya.
Kenyataan sama menyebut, Azalina dan delegasi Malaysia seterusnya diraikan menerusi satu pertemuan dengan Speaker House of Commons (Dewan Rakyat) United Kingdom, Lindsay Hoyle.
Pertemuan ini merupakan kunjungan balas selepas lawatan beliau ke Parlimen Malaysia pada 19 Februari yang lalu.
Pada masa sama, delegasi Malaysia turut sempat mengadakan pertemuan dengan Peguam Negara bagi England dan Wales di pejabat beliau di Ministry of Justice, United Kingdom.
‘’Kami telah mengadakan perbincangan lanjutan serta bertukar-tukar pandangan mengenai bidang utama reformasi parlimen termasuk peranan jawatankuasa pilihan dan sistem sokongan mereka dalam meningkatkan fungsi parlimen.
‘’Pertemuan kami bersama dengan Hermer KC, merupakan pertemuan yang amat signifikan kerana perbincangan berhubung sistem semasa yang digunapakai di United Kingdom.
‘’Ia merangkumi aspek peranan dan fungsi Peguam Negara dan Pendakwa Raya telah diterangkan dengan lebih terperinci,’’ tambahnya lagi.