'Dekriminalisasi' penggunaan dadah: KDN laksana libat urus intensif berkaitan pindaan akta

Bernama
Julai 18, 2024 07:06 MYT
Saifuddin Nasution berkata kementerian telah mengendalikan 13 sesi libat urus pada tahun ini, 22 libat urus (2023), 11 libat urus (2022), tujuh libat urus (2021) dan empat sesi libat urus (2020).
KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah melaksanakan sesi libat urus yang intensif dengan pelbagai pihak berkepentingan dalam usaha meminda Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983, persidangan Dewan Rakyat dimaklumkan hari ini.

Ringkasan AI
  • Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah mengadakan sesi libat urus yang intensif dengan pelbagai pihak berkepentingan untuk meminda Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983, dengan sejumlah 57 sesi libat urus diadakan sejak tahun 2020.
  • Sesi libat urus melibatkan kementerian, agensi kerajaan, pusat pemulihan dadah persendirian, Majlis Penyalahgunaan Bahan Malaysia (MASAC), serta 106 badan bukan kerajaan (NGO) yang terlibat dalam rawatan, pemulihan, dan pencegahan dadah.
  • Rang Undang-Undang Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) (Pindaan) 2024 telah ditangguhkan untuk dibawa ke Jawatankuasa Pilihan Khas Kesihatan dan Jawatankuasa Pilihan Khas Keselamatan bagi mendapatkan pandangan lanjut setelah melalui perbahasan oleh 36 Ahli Parlimen.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata kementerian telah mengendalikan 13 sesi libat urus pada tahun ini, 22 libat urus (2023), 11 libat urus (2022), tujuh libat urus (2021) dan empat sesi libat urus (2020).
"Antaranya melibatkan kementerian, agensi, jabatan dalam struktur kerajaan, termasuk juga pusat pemulihan dan rawatan dadah persendirian yang dihadiri 125 individu dalam sesi libat urus.
"Sesi libat urus bersemuka juga telah diadakan dengan Majlis Penyalahgunaan Bahan Malaysia (MASAC) secara dialog awam berkaitan dekriminalisasi penggunaan dadah selain (pertemuan dengan) 106 badan bukan kerajaan (NGO) melibatkan 30 NGO yang khusus dalam bidang rawatan dan pemulihan manakala 76 lagi dalam bidang pencegahan," katanya.
Beliau menjawab pertanyaan Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) mengenai sama ada kerajaan telah membuat kajian secara terperinci dan sesi libat urus secukupnya berkenaan cadangan untuk menyahjenayah (dekriminalisasi) dalam penyalahgunaan dadah.
Pada 9 Julai lepas, Rang Undang-Undang Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) (Pindaan) 2024 yang dibentang untuk bacaan kali kedua, ditangguhkan dan akan dibawa ke Jawatankuasa Pilihan Khas Kesihatan dan Jawatankuasa Pilihan Khas Keselamatan untuk pandangan lanjut.
Saifuddin Nasution berkata penangguhan rang undang-undang itu telah melalui proses perbahasan oleh 36 Ahli Parlimen dibuat berdasarkan Peraturan Mesyuarat 62 Dewan Rakyat setelah meneliti pandangan Ahli Parlimen, selain memastikan rang undang-undang itu menjadi akta terbaik apabila diluluskan.
-- BERNAMA
#Dewan Rakyat #pindaan akta penagihan dadah #KDN #nyah jenayah