Deklarasi Rakyat-Selamatkan Malaysia dibawa kepada Agong - Tun Mahathir
Rahimah Abdullah
Mei 13, 2016 19:23 MYT
Mei 13, 2016 19:23 MYT
Deklarasi Rakyat-Selamatkan Malaysia, yang setakat ini ditandatangani kira-kira 1.2 juta rakyat, akan dikemukakan kepada Yang di-Pertuan Agong dalam masa terdekat, kata Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini.
Bekas perdana menteri itu berkata, beliau akan menyampaikan kepada baginda apa yang menurutnya dimahukan oleh rakyat.
"Saya mungkin tidak dapat bawa semua borang ini. Namun, saya akan ambil gambar semua borang ini dan beritahu Agong apa yang dirasakan oleh rakyat.
“Saya akan cuba secepat mungkin. Saya akan beritahu Agong bahawa rakyat mahu Najib disingkirkan," katanya pada satu sidang media di sini.
Dr Mahathir berkata, jumlah penandatangan deklarasi yang dilancarkan 4 Mac itu kini melepasi sasaran sejuta tandatangan yang dijangka dicapai akhir tahun ini.
"Kami jangka sejuta akan dicapai akhir tahun ini. Namun, dengan perasaan rakyat yang sangat mengagumkan, menyebabkan ia melepasi sasaran," katanya lagi.
Menurutnya, ia melibatkan penyertaan secara atas talian dan borang yang diedarkan pihak sekretariat.
Sementara itu, katanya, sebanyak 253,000 borang telah ditolak kerana tidak memenuhi syarat penyertaan.
Tegasnya, kempen Selamatkan Malaysia akan diteruskan sehingga matlamat utama tercapai.
"Kempen ini tidak akan dihentikan. Kami akan dapatkan sebanyak mana mungkin orang," ujar Dr Mahathir.
Kempen berkenaan berjalan ke seluruh pelusuk Malaysia baik di kawasan bandar mahupun luar bandar.
"Orang ramai tampil dan mereka turunkan tandatangan. Ada yang kita jumpa di pasar malam, individu yang keluar sendiri dapatkan tandatangan. Ini tak pernah dilihat sebelum ini," jelasnya.
Usaha menandatangani deklarasi itu menunjukkan komitmen rakyat untuk melihat perubahan dalam politik negara, kata bekas presiden Umno itu.
"Kita boleh ada demonstrasi jalanan, tetapi apabila kamu tandatangan di atas kertas, maknanya ia komitmen," tegas Dr Mahathir.
Antara tuntutan deklarasi itu adalah peletakan jawatan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.