Dekati pelajar, STEM tidak lagi membosankan
Aida Aziz
Ogos 11, 2022 13:48 MYT
Ogos 11, 2022 13:48 MYT
IPOH: Pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) boleh menjadi bidang yang menyeronokkan, asalkan kena dengan cara serta pendekatannya.
Mendekati para pelajar di sekolah-sekolah di samping jelajah untuk memberi penerangan secara praktikal dilihat mampu mengalakkan lebih ramai yang berminat untuk meneroka bidang itu.
Ketua Penolong Setiausaha Bahagian Pembudayaan dan Perkhidmatan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Rosmaini Mohamed berkata, pihaknya kini bergerak aktif melaksanakan jelajah ke sekolah berdasarkan jemputan.
Menurut Rosmaini, mereka juga bekerjasama dengan agensi lain bagi menarik minat para pelajar mendekati bidang sains, teknologi serta robotik.
"Kita bawa aktiviti (ke sekolah), bukan hanya fakta semata-mata. Selain itu diberikan contoh dan penerangan untuk pelajar mudah faham. Bukan hanya dengar sahaja, tidaklah hambar.
"Pelajar cenderung lebih memahami sesuatu perkara bila mereka nampak dan buat sendiri (eksperimen).
"MOSTI juga berperanan untuk melengkapkan keperluan dari sudut pembelajaran tidak formal, tetapi selari dengan silibus yang diajar.
"Sambutan yang diterima begitu mengalakkan, boleh nampak yang pelajar teruja dan suka dengan ilmu yang disampaikan," katanya kepada Astro AWANI.
Beliau ditemui pada program Jalinan dan Jaringan SMK Sri Puteri bersama MOSTI & Techlympics, Jabatan Kimia Perak dan Yayasan Inovasi Malaysia, di sini pada Khamis.
Hadir sama, Pengetua SMK Sri Puteri Zakiah Ariffin.
Jelajah di sekolah-sekolah itu sudah dilaksanakan di beberapa buah negeri seperti Selangor, Perak dan Kelantan, yang bermula sejak Mac lalu.
Sementara itu, Ketua Pertandingan Malaysia Research Accelerator for Technology and Innovation (MRANTI), Saiful Rizal berkata program di sekolah tersebut adalah yang kedua terakhir sebelum persinggahan terakhir di Kuala Kangsar, esok.
"Kita ada beberapa kriteria atau penentu untuk pilih sekolah yang sesuai jalankan program ini.
"Tujuannya ialah untuk pembudayaan sains, dimaklumkan juga sekolah ini berminat untuk anjurkan program yang kita jalankan.
"Kita juga tidak begitu sasarkan sekolah-sekolah di bandar, mereka sudah terdedah (dengan teknologi). Sekolah di luar bandar perlukan pendedahan tentang STEM lebih dekat," katanya.
Mengulas lanjut berhubung tanggapan subjek sains, kejuruteraan dan matematik itu susah dan ditakuti ramai pelajar, beliau berkata pelbagai usaha sudah dan sedang dilaksanakan oleh Kementerian.
"Sebagai contoh program techlympics yang diselitkan itu, ia banyak menyasarkan pelajar dari sekolah rendah, menengah dan belia.
"Tapi peratusan tertinggi penyertaan adalah daripada kalangan pelajar, kita mahu mereka berminat juga dengan aktiviti sains seperti yang kita bawa hari ini, dron dan robot," katanya lagi.
Para pelajar yang ditemui turut menyatakan rasa gembira dan teruja dengan penganjuran program itu.
I. Keerthana, 17, yang mengikuti aliran sains di sekolah itu berkata banyak input menarik yang boleh diimplikasi dalam pembelajaran serta kehidupan seharian.
"Saya rasa lebih tertarik untuk belajar dalam bidang teknologi secara lebih mendalam.
"Sebelum ini saya tak begitu minat dalam bidang teknologi sebab nampak sukar dari segi projek, tetapi kini tidak lagi," katanya yang bercita-cita menjadi pakar bedah.
Amira Suaidah Shamsudin, 16, pula berpendapat STEM akan menjadi menarik jika diberi pendedahan yang sebetulnya.
"Banyak aktiviti sains dan teknologi yang mereka tunjuk tadi, memang menarik. Kita dapat lihat teknologi moden ini banyak memudahkan manusia dan memendekkan tempoh kerja yang rumit," katanya.
Terdahulu dalam program itu, para pelajar dan guru berpeluang melihat demonstrasi robotik dan dron yang disampaikan oleh agensi terbabit.