Dego Ride: Tiga disaman JPJ
Bernama
Februari 14, 2017 21:13 MYT
Februari 14, 2017 21:13 MYT
Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengeluarkan saman kepada tiga pemilik motosikal yang menyediakan perkhidmatan teksi motosikal secara haram yang dikenali sebagai 'Dego Ride', semalam.
Pengarah Penguat Kuasa JPJ Datuk V. Valluvan berkata dua daripada mereka disaman di sekitar Kuala Lumpur manakala seorang lagi di Selangor kerana menyalahgunakan Lesen Kenderaan Motor (LKM).
"Ketiga-tiga mereka akan didakwa di mahkamah mengikut Seksyen 23 (2) Akta Pengangkutan Jalan dan boleh didenda minimum RM1,000 dan maksimum RM10,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali.
"Selain itu, JPJ juga telah mengeluarkan notis kepada pemilik 'Syarikat Dego Ride' berkenaan untuk tampil memberi keterangan di ibu pejabat JPJ Putrajaya dan dia diberi masa tujuh hari untuk berbuat demikian," katanya kepada Bernama di sini, hari ini.
Semalam, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai memberi amaran kepada syarikat perkhidmatan teksi motosikal itu agar tidak mencabar undang-undang negara setelah diarahkan menghentikan perkhidmatan tersebut atas faktor keselamatan.
'Dego ride', yang beroperasi menggunakan aplikasi maya, diperkenalkan sejak November lepas dan semakin popular dalam kalangan warga kota sebagai alternatif murah dan pantas untuk mengatasi masalah kesesakan di ibu negara.
Perkhidmatan itu yang menyamai 'ojek' di Indonesia dan 'motorsai rap chang' di Thailand menawarkan tambang serendah RM2.50 untuk perjalanan sejauh 3 kilometer (km) dan tambahan RM0.60 bagi setiap 1 km berikutnya.
-- BERNAMA