Degil, pekakkan telinga punca jenayah samun berulang

Astro Awani
Januari 23, 2013 12:18 MYT
Kes samun pecah cermin kereta bukanlah suatu perkara baru di negara ini memandangkan kes seperti ini semakin meningkat setiap tahun walaupun peratusannya kecil berbanding jenis-jenis jenayah yang lain.
Wanita menjadi sasaran utama dalam jenayah ini.
“Wanita tidak menghiraukan nasihat yang diberi,” kata penganalisis jenayah, Kamal Affendi Hashim.
Kamal Affendi: Wanita tidak hiraukan nasihat
Kebanyakan kes terjadi semasa mangsa berada di dalam kereta mereka di persimpangan lampu isyarat. Inilah masanya penjenayah akan memecahkan cermin kereta mangsa di sebelah kiri dan meragut tas tangan atau apa-apa sahaja barang berharga yang diletakkan di atas tempat duduk dalam kereta.
“Wanita sudah menjadikannya sebagai tabiat untuk meletakkan tas tangan di atas tempat duduk sebelah pemandu walaupun sudah dinasihat berulang kali. Ini kerana, tempat duduk sebelah pemandu adalah tempat yang strategik untuk penjenayah mencuri memandangkan ianya dapat dapat dilihat dengan jelas,” kata Kamal Affendi.
Menurutnya lagi, terdapat tiga kategori mangsa dalam kes jenayah seperti ini.
Kategori pertama adalah mangsa keadaan dimana mereka berada di tempat yang salah dan pada masa yang salah tetapi penjenayah sudah melihat peluang untuk mencuri.
Kedua, merupakan mangsa yang memang sudah dijadikan sasaran dan penjenayah sudah melihat atau tahu bahawa mangsa memiliki barang berharga.
Satu lagi kategori mangsa yang dijelaskan oleh Kamal Affendi adalah mangsa sukarela. Mangsa ini menurutnya terdiri daripada mereka yang sudah dinasihati berulang kali tetapi tidak mengendahkan nasihat yang diterima dengan memikirkan perkara seumpama ini tidak akan terjadi terhadap mereka.
SAC Mohd Adnan Abdullah: Penjenayah mengkaji mangsa sebelum bertindak
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, SAC Mohd Adnan Abdullah berkata, Petaling Jaya mencatatkan kadar tertinggi bagi jenayah pecah cermin kereta dan ragut dengan 70 kes dari Januari hingga November 2012.
“Kami percaya penjenayah-penjenayah ini telah mengkaji mangsa mereka sebelum memecahkan cermin kereta dan meragut. Sebaik sahaja mereka nampak peluang mereka akan terus bertindak,” kata Adnan.
Aplikasi MyDistress
Bimbang dengan perkara ini, Adnan menasihati semua pemandu untuk mengambil langkah berjaga-jaga. Beliau mencadangkan kepada semua pemandu terutama wanita yang bekerja supaya memuat turun aplikasi MyDistress iaitu satu aplikasi isyarat kecemasan melalui telefon pintar.
Aplikasi ini membolehkan pengguna memberi signal kepada anggota polis berdekatan semasa berada dalam kecemasan dengan hanya menekan satu butang yang disediakan dalam aplikasi MyDistress tersebut.
ACP Khairy Ahrasa: Gunakan 'pepper spray' sebagai alat pencegah
Sementara itu di Kuala Lumpur, Penolong Ketua Siasatan Jenayahnya, ACP Khairy Ahrasa berkata, Brickfields mencatatkan kadar jenayah pecah cermin kereta dan ragut tertinggi dengan 62 kes yang berlaku tahun ini.
Menurut Khairy, penjenayah ini kebiasaannya akan bertindak pada waktu kesesakan lalu lintas: “Mereka akan menunggang motosikal, jadi ini akan menyenangkan mereka untuk lari dari orang ramai selepas meragut.”
Beliau menambah, jenayah seperti ini tidak semestinya berlaku pada waktu malam kerana mengikut siasatan yang dijalankan, kebanyakkan kes yang dilaporkan terjadi antara 4 hingga 6 petang.
Untuk melindungi diri sendiri, Khairy mencadangkan semua wanita di Malaysia membeli “semburan pemedih mata”.
'Pepper Spray'
“Daripada meletakkan tas tangan anda di atas tempat duduk di dalam kereta, lebih bagus jika meletakkan ‘pepper spray’ di situ. Dengan cara ini, anda boleh memedihkan mata penjenayah dengan menyembur ‘pepper spray’ itu sebelum mereka mendapat peluang menarik tas tangan anda. Benar mereka memakai topi keledar, tetapi sedikit sebanyak semburan ini dapat membantu,” tambah beliau.
Bagi mengelakkan perkara seumpama ini terjadi kepada anda, ikuti beberapa langkah berjaga-jaga yang disarankan:
• Letak tas tangan di kaki pemandu atau di bonet kereta.
• Sentiasa perhatikan sekeliling kereta anda semasa berhenti di lampu isyarat.
• Dapatkan perhatian pemandu lain dengan menekan hon atau meminta tolong jika anda sudah sedar anda bakal menjadi sasaran penjenayah.
• Elakkan daripada menampal pelekat kereta yang mempunyai informasi peribadi.
• Simpan semburan pemedih mata bersama anda setiap masa.
• Muat turun aplikasi MyDistress dalam telefon pintar anda bagi mendapatkan bantuan segera daripada anggota polis berdekatan.
• Penggunaan penggelap cermin kereta akan menyebabkan penjenayah susah untuk memecahkan cermin kereta anda.
• Jika anda menjadi mangsa jenayah samun pecah cermin kereta ini, buat laporan secepat mungkin.
#Kes ragut #Polis Kuala Lumpur #Polis Selangor #SAC Mohd Adnan
;