Deepavali: Trafik perlahan di beberapa lebuh raya utama
Astro Awani
November 11, 2023 18:40 MYT
November 11, 2023 18:40 MYT
KUALA LUMPUR: Trafik dilaporkan bergerak perlahan petang ini di beberapa lebuh raya utama berikutan pertambahan jumlah kenderaan.
Ia susulan ramai yang mengambil kesempatan pulang ke kampung halaman atau bercuti sempena perayaan Deepavali esok.
Menurut laman X Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), aliran trafik perlahan di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara dari Ipoh ke Kuala Kangsar, Rawang ke Sungai Buaya dan dari Sungai Dua ke Bertam.
Aliran trafik juga tinggi menghala ke Selatan dari Juru ke Jawi, dari Nilai ke Bandar Ainsdale, Nilai (U) ke Seremban, R&R Seremban (U) ke Seremban, Port Dickson ke Pedas Linggi; dan Senai (U) ke Sedenak.
Di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak, aliran trafik perlahan dari arah timur iaitu sebelum Plaza Tol Gombak, Gombak ke Bukit Tinggi dan Bukit Tinggi ke Lentang.
Orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi talian bebas tol Plusline 1800-88-0000 dan laman Twitter di http://www.twitter.com/plustrafik atau talian LLM di 1800-887752 serta laman X di http://www.twitter.com/LLMtrafik.