Deepavali: Terus berhubung dengan yang tersayang secara 'online' - Tun M
Faris Danial Razi
November 13, 2020 20:38 MYT
November 13, 2020 20:38 MYT
KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad tidak ketinggalan untuk mengucapkan Selamat Menyambut Hari Deepavali kepada semua rakyat Malaysia yang beragama Hindu.
Beliau dalam satu ucapan ringkas di YouTube turut menyeru supaya kelainan sambutan perayaan tahun ini tidak menjadi penghalang dalam usaha merapatkan hubungan masyarakat.
“Kemeriahan perayaan sudah pasti terbatas dan sedikit sebanyak terjejas. Hanya saudara-mara terdekat sahaja yang mungkin dapat berkunjung, itu pun jika dibenarkan.
“Batasan ini sebahagian usaha mengekang merebaknya wabak ini. Tetapi ini tidak harus menghalang usaha merapatkan hubungan di antara kita.
“Teknologi memberi kita ruang dan peluang untuk terus berhubung menerusi kaedah online dengan pelbagai aplikasi yang ada hari ini.
“Kita boleh bersemuka menggunakan aplikasi-aplikasi dan berkongsi suasana secara real time dengan rakan-rakan dan orang tersayang,” katanya.
Beliau turut berpesan supaya masyarakat Malaysia terus meraikan kepelbagaian kaum dan agama sambil berwaspada menghadapi pandemik COVID-19.
“Kepelbagaian ini kita bina di atas rasa hormat-menghormati, tolak ansur, toleransi dan tanggungjawab sesama kita.
“Ia telah membantu memacu perjalanan Malaysia ke hadapan dan perayaan seperti Deepavali ini akan terus menjadi pemangkin kepada kepelbagaian tersebut.
“Di hari yang gembira ini, jangan pula kita lupa bahawa wabak ini telah menyebabkan ekonomi negara merudum.
“Ramai yang hilang punca pendapatan dan tidak dapat teruskan kehidupan seperti biasa. Ayuh kita bersama-sama hulur bantuan kepada mereka yang memerlukan.
“Saya percaya rakyat Malaysia adalah golongan manusia yang tidak akan dapat tidur lena jika dia tahu ada di antara jirannya yang tidur di dalam kelaparan,” tambah beliau lagi.
#Mahathir Mohamad
#Deepavali
#rakyat Malaysia
#ekonomi
#hilang
#rakyat
#COVID-19
#sambutan perayaan
#SOP