Deepavali: Menerangi rumah, hati dan komuniti
Bernama
Oktober 30, 2024 09:00 MYT
Oktober 30, 2024 09:00 MYT
KUALA LUMPUR: Deepavali berasal daripada dua gabungan perkataan Tamil, "Deepam" (lampu minyak) dan "Awali" (susunan), justeru perayaan ini secara simboliknya meraikan kemenangan mengatasi kejahatan, dengan pelbagai upacara yang turut menyemai rasa syukur, penyatuan dan pembersihan rohani.
Menjelang Deepavali atau dikenali juga sebagai Pesta Cahaya yang akan disambut Khamis ini, Presiden Hindudharma Maamandram Malaysia A Radhakrishnan berkongsi pandangannya mengenai hari keramat ini.
"Susunan lampu minyak simbol perjalanan dari kegelapan menuju cahaya terang, satu peringatan untuk membuang sifat bongkak, cemburu dan ego. Kejahilan dan kegelapan dalam diri kita perlu disingkirkan untuk mendapatkan kemurnian rohani," beliau memberitahu Bernama.
Persediaan, jelas beliau, bermula pada malam sebelum Deepavali, iaitu Rabu 30 Oktober dengan adat menghormati Kula Deivam (Dewa Puak) keluarga dan mengalu-alukan keberkatan leluhur atau nenek moyang. Anggota keluarga digalakkan berkumpul pada pukul 7:30 malam untuk upacara menyalakan lampu, menghala ke arah selatan bagi mendapatkan keberkatan leluhur.
"Untuk mengalu-alukan Sri Maha Lakshmi (Dewi Kekayaan) dalam bentuk cahaya datang ke rumah, letakkan sebuah meja kecil di halaman rumah, dilapik dengan kain bersih dan dihias dengan kuttu vilakku (lampu berdiri tradisional) dengan bunga-bungaan, dulang buah-buahan, dauh sirih dan buah pinang (vetrilai pakku), pes sandal (santhanam), vermilion (kungkumam), serta semangkuk minyak bijan, yang akan digunakan keesokan pagi," katanya.
Sebaik sahaja semua barang tersebut disusun rapi, anggota keluarga diminta menyalakan kuttu vilakku dan meletakkan lampu di sekeliling rumah bagi menerangi kegelapan dan mengalu-alukan kedatangan keberkatan. Lampu-lampu ini kemudiannya dibawa ke bilik pooja atau kawasan yang dikhaskan, dengan memastikan diletak secara selamat, sebelum semua masuk tidur. Satu bahagian kuttu vilakku tidak dipadamkan bagi mengekalkan cahaya untuk upacara pada pagi hari.
Pada pagi Deepavali dikenali sebagai Ganga Snaanam, anggota keluarga akan mandi minyak suci, simbol keberkatan dari Sungai Ganges. Dilakukan pada Brahma Muhurtham, masa yang dianggap bertuah dan berakhir pada pukul 5:27 pagi. Untuk upacara ini, semua akan bangun awal, mencuci tangan dan kaki, serta menyalakan kesemua lima wajah kuttu vilakku, daripada malam sebelumnya.
"Seseorang dalam keluarga perlu menyalakan lampu-lampu itu dan berdoa kepada Dewi Mahalakshmi, dipercayai berada di dalam kuttu vilakku," kata Radhakrishnan, menambah bahawa buah-buahan, daun sireh, pes sandal dan minyak bijan yang disediakan pada malam sebelumnya harus didedikasikan kepada Lakshmi Narayanan, bentuk Tuhan Vishnu.
Upacara ini diteruskan dengan anggota keluarga menyapu minyak bijan, simbol Mahalakshmi, ke atas kepala masing-masing, diikuti dengan mandi air suam, mewakili Ganga Devi.
Selepas mandi minyak, anggota keluarga berkumpul untuk bersembahyang, membawa pakaian baharu, manisan dan buah-buahan di hadapan imej Tuhan Krishna atau Poorna Kumbam (bekas suci). Anggota keluarga yang tua akan merahmati anggota keluarga yang muda, yang akan tunduk dan menerima pakaian baharu, ditaburi dengan sedikit serbuk kunyit untuk mendapat tuah.
Sementara itu, Presiden Hindu Sangam T Ganesan menjelaskan selepas bersembahyang di rumah, tradisinya seterusnya mengunjungi kuil dengan berpakaian serba baharu untuk bersembahyang dan menzahirkan rasa syukur mereka.
"Kunjungan ke kuil membolehkan pengunjung bertukar-tukar ucapan Selamat Menyambut Deepavali sesama mereka di samping menyemarakkan perasaan kegembiraan di hari kebesaran itu," katanya.
Beliau menggalakkan masyarakat India mengundang rakan dan kaum keluarga mereka ke rumah untuk sama-sama beraya, menikmati hidangan dan berkongsi kegembiraan.
"Deepavali merangkumi kesucian dan kebaikan, untuk itu, saya berharap mereka yang merayakan hari berbahagia ini memegang teguh ciri-ciri ini dalam tindak-tanduk mereka. Saya juga mengesyorkan sebagai mengormati kesucian perayaan ini, elakkan makan daging dan minum alkohol," nasihat beliau.
Beliau turut mengingatkan agar berhati-hati di jalan raya, terutama bagi mereka yang melakukan perjalanan jauh untuk menziarah orang-orang tersayang.
Di samping itu, Ganesan menggalakkan kunjungan ke rumah-rumah anak yatim, warga tua dan rumah perlindungan untuk Orang Kurang Upaya di samping berderma.
"Semangat Deepavali bukan sahaja setakat menyalakan lampu. Ia bermaksud membawa cahaya ke dalam kehidupan orang di sekeliling kita," katanya menambah, usaha juga perlu dibuat untuk merapatkan hubungan silaturrahim dan memaafkan sebarang kesilapan lampau.
Ketika masyarakat India di negara ini khususnya membuat persiapan untuk menyambut Deepavali, pesanan berkenaan amat sesuai untuk mereka yang meraikan Pesta Cahaya ini menggabungkan tradisi dengan semangat perpaduan, sayang-menyayangi, memupuk keamanan, kemakmuran dan kegembiran berpanjangan.
-- BERNAMA