Deepavali: Little India Brickfields kembali meriah, SOP masih terkawal

Eton Khir
Oktober 31, 2021 18:48 MYT
Seorang pengunjung memilih kalungan bunga 'malai' untuk hiasan rumahnya menjelang sambutan perayaan Deepavali pada minggu hadapan di Briekfields, Kuala Lumpur. - Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Berbaki tiga hari lagi perayaan Deepavali, rakyat Malaysia penganut agama Hindu khususnya memanfaatkan cuti hari minggu untuk mula membuat persiapan pesta cahaya itu.
Tinjauan di Little India, sepanjang Jalan Tun Sambanthan di sini, mendapati orang ramai mula mencari barangan keperluan bagi menambahkan lagi suasana meriah menjelang perayaan itu yang akan disambut pada 4 November ini.
Rata-rata peniaga di kawasan itu menarik nafas lega kerana premis mereka mula dibanjiri orang ramai untuk membeli keperluan persiapan perayaan sekali gus dapat menjana pendapatan mereka.
J.Paramesvary, 34, yang berniaga pakaian berkata, tahun ini persiapan penganut Hindu untuk perayaan Deepavali lebih meriah susulan peningkatan dalam hasil perniagaannya.
"Dua tahun perniagaan kita memang merosot, saya rasa tahun ini perniagaan sedikit menampakkan peningkatan. Mungkin jurangnya, tidaklah terlalu besar namun serba sedikit ada perubahan" katanya kepada Astro AWANI, pada Ahad.
Bagi peniaga, L .Jayatthi, 67, dia gembira kerana jumlah pelanggan dan hasil perniagaan yang semakin meningkat susulan aktiviti merentas negeri dibenarkan.
"Berbanding pada tahun lepas, tahun ini hasil perniagaan saya menunjukkan peningkatan. Situasi ini berlaku atas faktor orang ramai sudah boleh merentas negeri.
"Pada masa sama, pengunjung yang datang ke kedai baju saya ini mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dengan baik seperti yang telah ditetapkan" katanya.
Sementara itu, pengunjung juga dilihat teruja berbelanja kerana dapat meraikan perayaan itu bersama keluarga dan sanak saudara di kampung halaman, walaupun dengan pematuhan SOP bagi mengelak penularan COVID-19.
Salah seorang yang ditemui, VK. Murugesu, 56, memberitahu, dia berpuas hati dengan kawalan SOP di kawasan itu kerana suasananya tidaklah terlalu padat, selain mengakui berasa gembira dengan jualan murah yang ditawarkan oleh peniaga.
"Saya lihat Brickfields ini, rata-rata mereka mengikut (SOP) yang telah ditetapkan. Selain itu, barangan juga dijual pada harga yang berpatutan dan kebanyakan peniaga juga menawarkan jualan murah berikutan sudah hampir dua tahun berlalu tanpa perayaan Deepavali.
"Situasi ini juga untuk menarik minat pengunjung untuk membeli-belah kerana keadaan ekonomi yang tidak terlalu memberangsangkan dan baru sahaja dalam fasa pemulihan," katanya.
Di samping itu, G.Puvaneswary, 34, berkata, dia dan suami bersama seorang anak mereka mula membuat persiapan awal sejak kebenaran merentas negeri dibenarkan untuk pulang ke kampung halaman.
"Saya suka membeli-belah di sini kerana suasananya yang meriah dan mudah untuk mendapatkan barang keperluan.
"Jika sebelum ini, saya hanya mampu duduk di rumah namun pada kali ini saya telah merancang untuk pulang ke Seremban, Negeri Sembilan untuk menyambut Deepavali bersama keluarga yang telah hampir dua tahun tidak berjumpa," katanya.
#Deepavali #SOP #Brickfields #perayaan
;