Deepavali: Hidupkan warisan masyarakat Chetti, elak kepupusan
Shuhada Abdul Kadir
November 4, 2021 15:27 MYT
November 4, 2021 15:27 MYT
GAJAH BERANG: Sambutan Deepavali tahun ini disambut penuh bermakna oleh masyarakat Chetti di Kampung Budaya Chetti Melaka yang merupakan perkampungan tunggal masyarakat itu di sini.
Berbeza dengan tahun sebelum ini ekoran kekangan penularan COVID-19, sambutan kali ini dirai dalam suasana kemeriahan sederhana dengan kunjungan oleh saudara-mara mengikut prosedur operasi standard (SOP) fasa empat Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Masyarakat Chetti mempunyai perbezaan ketara dengan kaum India antaranya dari aspek pakaian dan makanan pada hari perayaan Deepavali kerana masyarakat itu lebih terdedah kepada cara hidup orang Melayu.
Selain masyarakat Chetti, dua lagi kaum minoriti yang berada di Melaka adalah Portugis dan Baba Nyonya.
Seorang penduduk S.K. Pillay, 57, yang menetap di rumah pusaka keluarganya berkata, tidak dinafikan ramai antara mereka yang berasal dari kampung berkenaan sudah berhijrah keluar selepas membina keluarga.
Namun ujarnya, meskipun penduduk di kira-kira 25 buah rumah yang masih berada di kampung berkenaan pernah menolak beberapa cadangan projek besar yang pernah diusulkan oleh kerajaan sebelum ini, mereka mengharapkan pihak berkaitan perlu memikirkan sesuatu supaya perkampungan itu terus kekal relevan dan dikenali ramai.
Ini kerana katanya, mereka tidak mahu nasib seperti yang terjadi pada perkampungan Baba Nyonya yang lenyap dan perkampungan Portugis di Ujong Pasir yang terlalu dimodenkan, sehingga identiti masyarakat India Peranakan itu semakin dilupakan.
“Sangat mustahak sebenarnya untuk masyarakat kami kekalkan kampung ini, iaitu hanya masyarakat Chetti menetap di sini. Ini bermakna, budaya dan adat Chetti itu masih diteruskan.
“Apabila ada kampung yang khusus untuk penduduknya adalah masyarakat Chetti, apa jua perayaan, upacara samada keagaaman atau sosial, kita sama-sama dapat meraikannya dengan mengekalkan identiti Chetti Melaka itu,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Budaya Chetti di sini pada Khamis.
Mengulas lanjut, ujar bapa kepada tiga orang anak itu, usaha kerajaan dalam melakukan pembangunan bagi meningkatkan sosioekonomi penduduk di kampung itu tidak hanya tertumpu kepada projek penaiktarafan berskala besar.
Sebaliknya pemuliharaan dan pemeliharaan identiti kampung merupakan elemen penting yang perlu diberi perhatian.
“Kita ada rumah asal yang usianya sudah lebih 100 tahun dari tinggalan nenek moyang dan saya sendiri sudah tujuh keturunan di kampung ini. Jadi, kalau kata dari segi pembangunan macam-macam cara boleh (kerajaan) lakukan.
“Pasangkan lampu neon (hiasan), tanam pokok, ceriakan kawasan kampung, baiki rumah-rumah usang, dalamkan longkang sebab kawasan ini kerap juga banjir, itu juga dikira pembangunan, bukan hanya projek besar,” tambahnya.
Sementara itu, bagi Jasmine Phille,59, yang merupakan masyarakat Baba Nyonya dan berpindah ke kampung itu selepas berkahwin dengan etnik Chetti Melaka, dia terkilan apabila ada generasi muda yang tidak tahu kewujudan etnik Chetti di Melaka dan menganggap kumpulan itu sama seperti kaum India.
Jelasnya, mengambil kira Pilihan Raya Negeri (PRN) yang bakal diadakan di Melaka 20 November ini, dia mahukan sesiapa sahaja yang mengambil alih tampuk pimpinan untuk menghidupkan keunikan kepelbagaian kaum yang berada di negeri hang tuah ini.
“Sekarang ini ramai anak muda tidak tahu adat Chetti atau Baba Nyonya itu sendiri dan kini hanya Kampung Budaya Chetti masih kekal berbanding Baba Nyonya yang sudah tidak ada kampung.
“Jadi sesiapa sahaja yang mengambil alih (kerajaan) nanti diharap dapat peliharalah Kampung Budaya Chetti ini supaya adat dan budayanya terus dikenali ramai,” ujarnya.
Bagi S. Thuraiayah, 63, selain pemeliharaan perkampungan berkenaan dia mengharapkan kerajaan membantu dari segi pembangunan sosioekonomi dengan membuka lebih banyak kedai mahupun industri kraftangan di kawasan itu.
Katanya, ia secara tidak langsung boleh membuka ruang kepada masyarakat itu untuk menceburi bidang perniagaan.
“Kita memang harap kampung ini jangan diusik, terus pelihara dan kekalkannya. Berikan juga kemajuan dalam pelbagai bentuk termasuk bantuan kepada budak sekolah dan orang tua.
“Bagi saya yang pertama, kaum (Chetti) kena bersatu dulu dan rancanglah apa yang mereka nak buat. Bantu juga macam dalam kampung buka kedai makan atau pusat kraftangan untuk pendapatan kaum ini,” katanya.
Masyarakat Chetti Melaka adalah satu kelompok minoriti India yang unik yang suatu ketika dahulu terbentuk hasil daripada perkahwinan campur antara orang Hindu dengan rakyat tempatan seperti Melayu, Cina dan lain-lain.
Mengikut catatan sejarah, nenek moyang masyarakat Chetti Melaka merupakan golongan saudagar rempah dari negara India yang datang berdagang di sini dan kemudiannya menetap di Melaka.