Deepavali disambut sederhana seisi keluarga
Petrus Bernard
November 4, 2021 08:27 MYT
November 4, 2021 08:27 MYT
TAWAU: Walau jauh dari kampung halaman, perayaan Deepavali tetap disambut dengan penuh kesederhanaan.
Bagi pasangan suami isteri, Krishnan Ramasamy dan Nirmala Devi Kandasamy, perayaan Deepavali tetap disambut bagi menandakan kemenangan kuasa kebaikan terhadap kuasa kejahatan yang secara simboliknya ditunjukkan dalam cahaya yang menerangi kegelapan.
Pasangan ini menetap di Sabah sejak 18 tahun lalu akibat tuntutan tugas sebagai penjawat awam.
Biasanya mereka akan pulang ke kampung halaman di Pulau Pinang dan Seremban, Negeri Sembilan untuk meraikan sambutan Deepavali bersama ahli keluarga, namun sejak pandemik melanda negara, mereka tidak dapat berbuat demikian.
Bagi Nirmala Devi, yang bertugas sebagai seorang guru, dia tidak menafikan sambutan perayaan Deepavali sejak tahun 2020 agak suram kerana terpaksa diraikan dengan cara norma baharu demi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan untuk mengekang penularan COVID-19.
"Kita masih dalam fasa PPN, jadi tidak ada rakan-rakan kami yang hadir, sekadar kami sekeluarga sahaja menyambut Hari Deepavali.
"Memang terasalah perbezaan sebelum pandemik dan juga semasa pandemik ini di mana rumah terbuka tidak dapat diadakan dan terpaksa ikut SOP yang ditetapkan oleh kerajaan.
"Memang anak-anak pun rindu bertemu dengan rakan-rakan mereka yang hadir untuk sambutan Deepavali," katanya.
Manakala Krishnan Ramasamy yang berasal dari Seremban, Negeri Sembilan dan bertugas sebagai pegawai kanan Polis di Kota Kinabalu berkata, makanan tradisional yang dihidangkan dapat mengingatkan kembali kepada kampung halamannya.
"Makanan tradisional seperti ikli, biasanya kita akan cuba masak juga di Tawau.
"Sudah pasti hidangan tradisional yang kita masak di sini memang mengingatkan kita pada keadaan di kampung halaman masa kita ketika makan bersama keluarga, adik-beradik dan sanak-saudara," katanya.
Sementara itu anak sulung mereka, Bagish Krishnan yang akan melanjutkan pelajaran ke universiti dalam jurusan perubatan amat bersyukur kerana dapat menyambut Deepavali bersama keluarga sebelum masuk ke kampus Disember depan.
"Tahun lalu ketika Deepavali kami tidak dapat sambut bersama sebab saya dengan bapa saya terkandas di Pulau Pinang ketika PKP, kami tidak dapat kembali ke Sabah ketika itu.
"Itulah kali pertama kami tidak sambut bersama keluarga.
"Tahun ini memang agak gembira kerana saya dapat sambut bersama keluarga sebelum masuk universiti, mungkin saya akan masuk universiti pada bulan Disember.
"Jadi saya dapat peluang untuk bersama keluarga dahulu, beramah mesra dengan keluarga sebelum saya masuk kampus," katanya.
Timbalan Pengerusi Persatuan India Tawau, Nokiah Sannasi, merangkap pemegang amanah Kuil Thirumurugan, Tawau berkata penganut agama Hindu di Tawau juga tidak mengadakan perarakan, selain mengehadkan kehadiran bersembahyang di kuil dengan syarat lengkap dos suntikan vaksinasi.
"Tahun ini kami tidak ada perarakan yang besar, dan kehadiran bersembahyang di kuil setiap kali hanya 50 orang sahaja dibenarkan setiap sesi.
"Mereka juga kena ada dua dos suntikan vaksinasi, kalau tidak kami tidak benarkan mereka memasuki kawasan kuil," katanya.
Walaupun Deepavali disambut dengan penuh kesederhanaan namun kegembiraan tetap dirasai dalam kalangan ahli keluarga.
Sekurang-kurangnya 150 keluarga dengan anggaran 500 orang masyarakat India meraikannya di Tawau.