Deejay kenduri kahwin didakwa rogol anak tiri berusia 13 tahun

Adie Sufian Zulkefli
September 29, 2022 14:48 MYT
Tertuduh (kanan) didakwa mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak kurang lapan tahun dan tidak lebih 30 tahun dan boleh disebat tidak kurang 10 sebatan.
SUNGAI PETANI: Seorang lelaki yang juga deejay kenduri kahwin dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Sungai Petani, hari ini atas tuduhan merogol anak tiri berusia 13 tahun, dua minggu lalu.
Tertuduh yang berusia 39 tahun itu, bagaimanapun, tidak mengaku salah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Roslan Hamid.
Tertuduh didakwa merogol mangsa di sebuah bilik di rumahnya di Yan pada 11 malam, 14 September lalu.
Bagi perbuatan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak kurang lapan tahun dan tidak lebih 30 tahun dan boleh disebat tidak kurang 10 sebatan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Zulfadly Hassan manakala tertuduh diwakili peguam Nur Izzatul Amirah Zawawi.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM12,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tidak mendekati atau mengganggu mangsa.
Mahkamah juga menetapkan 15 November depan sebagai sebutan semula kes.
#deejay kenduri kahwin #rogol anak tiri #penjara 30 tahun #10 sebatan
;