Dedahkan nama syarikat terlibat sindiket kartel daging - Bastien

Astro Awani
Disember 26, 2020 10:11 MYT
Tegas Bastien, negara kini berdepan dengan soal tanggungjawab kepada akidah umat Islam dan ancaman keyakinan kepada syarikat-syarikat Malaysia yang terlibat dalam pasaran halal dunia. - Astro Awani
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) diminta menjalankan pengawasan dengan mengikuti rapat perkembangan sindiket kartel daging bagi memastikan ketelusan siasatannya.
Exco Pemuda UMNO, Bastien Onn menegaskan, tindakan kerajaan terhadap pengendalian kes ini amat penting bagi mengembalikan kepercayaan umat Islam kepada industri makanan daging dalam negara.
'Kita mahu nama syarikat-syarikat yang terlibat diumumkan dan tindakan mahkamah kepada mereka yang bersekongkol dengan sindiket ini dibawa ke muka keadilan segera.
"Rakyat yang sedang marah mahukan kerajaan tidak memandang ringan isu ini sebaliknya menarik segera barangan di pasaran," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
BACA: Tubuh pasukan khas jejaki dalang kartel daging import - Asyraf Wajdi
BACA: KPDNHEP siasat isu kartel daging di bawah dua kesalahan cap dagangan
Bastien mengulas laporan sebuah portal mengenai taktik jahat kartel yang menyeludup daging sejuk beku dari China, Ukraine, Brazil dan Argentina sebelum membungkus semula daging tersebut dengan logo halal dan menjualnya ke pasaran seluruh Malaysia.
Hasil risikan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) kartel berkenaan dipercayai menyamar sebagai syarikat pembekal daging sejuk beku telah menjadikan gudang di Senai sebagai lokasi untuk membuat label dan cap palsu yang kemudiannya akan ditampal pada kotak daging yang telah dibungkus semula itu.
Dalam pada itu, kata Bastien, kerajaan tiada pilihan dan harus mengambil berat berhubung perkara berkenaan yang menjadikan dunia melihat dengan rapat terhadap perkembangan kes.
"Kes seperti ini menjadi satu tamparan kepada industri halal negara pada saat Malaysia cuba menjadi pemain utama industri halal global yang bernilai AS$2.3 trilion.
"Umat Islam merupakan antara yang terbesar di dunia dan pasaran ini sedang sedaya-upaya cuba ditembusi oleh Malaysia. Tidakkah segelintir penguatkuasa yang mengamalkan rasuah telah merosakkan keyakinan dunia kepada industri halal negara?
"Saya bimbang sekiranya perkara ini menjadi gerakan memboikot makanan daging negara secara massa kerana soal makanan halal menjadi perbualan meluas isi keluarga akhir-akhir ini," tegasnya
Menurut beliau, negara kini berdepan dengan soal tanggungjawab kepada akidah umat Islam dan ancaman keyakinan kepada syarikat-syarikat Malaysia yang terlibat dalam pasaran halal dunia.
Pada Jumaat, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menggesa pihak kerajaan menubuhkan sebuah pasukan khas melibatkan pelbagai agensi penguatkuasaan dalam industri halal bagi mengenal pasti dalang sindiket kartel daging yang mencetuskan kebimbangan ramai.
Beliau berkata, kerajaan perlu menangani segera isu yang menimbulkan kebimbangan dan keraguan orang ramai.
#PDRM #Facebook #SPRM #Islam #Halal #Rasuah #daging