Dedah maklumat sulit: Pendakwa raya tarik balik rayuan terhadap pembebasan Rafizi, Johari

Bernama
Disember 13, 2019 13:01 MYT
Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 15 Nov lepas melepaskan dan membebaskan Mohd Rafizi dan Johari daripada pertuduhan mengikut BAFIA. - Gambar fail
Naib Presiden PKR Mohd Rafizi Ramli kekal bebas daripada pertuduhan mendedahkan butiran sulit perbankan berkaitan dengan Perbadanan Fidlot Nasional (NFC) selepas Pendakwa Raya menarik balik rayuan terhadap pembebasannya.
Timbalan Pendakwa Raya Jasmee Hameeza Jaafar memaklumkan panel tiga Hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai Hakim Datuk Yaacob Md Sam bahawa pihak pendakwaan juga menarik balik rayuan terhadap pembebasan bekas kerani bank, Johari Mohamad daripada pertuduhan bersubahat dengan Mohd Rafizi.
Beliau berkata pihak pendakwaan memfailkan notis penarikan balik rayuan pada 9 Dis lepas.
"Oleh itu pihak pendakwaan menarik balik kedua-dua rayuan," katanya dan mahkamah membatalkan rayuan tersebut.
"Perintah lepas dan bebas yang diputuskan Mahkamah Tinggi dikekalkan," kata Hakim Yaacob yang bersidang bersama-sama Hakim P. Ravinthran dan Hakim Datuk Abu Bakar Jais.
Peguam Ahmad Nizam Hamid yang mewakili Mohd Rafizi mengucapkan terima kasih kepada pihak pendakwaan.
Mohd Rafizi, 43, dan Johari, 49, yang diwakili peguam Shahid Adli Kamarudin hadir di mahkamah.
BACA: Rafizi Ramli umum akhiri dunia politik, ingin ceburi bidang teknologi
BACA: Bebas hukuman BAFIA, Rafizi tidak mahu aktif politik
Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 15 Nov lepas melepaskan dan membebaskan Mohd Rafizi dan Johari daripada pertuduhan mengikut Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan (BAFIA), selepas membenarkan rayuan mereka untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara 30 bulan dikenakan terhadap mereka.
Pada 7 Feb 2018, Mahkamah Sesyen Shah Alam mendapati, Mohd Rafizi, bersalah atas pertuduhan mendedahkan dokumen penyata baki akaun bank milik National Feedlot Corporation (NFC), National Meat Livestock Sdn Bhd, Agroscience Industries Sdn Bhd dan akaun bank Pengerusi NFC, Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail kepada perunding media, Yusof Abdul Alim dan pemberita akhbar The Star, Erle Martin Carvalho.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Ibu Pejabat PKR di Merchant Square, Jalan Tropicana Selatan, Petaling Jaya, pada 7 Mac 2012.
Mohd Rafizi dituduh mengikut Seksyen 97(1) BAFIA yang boleh dihukum mengikut Seksyen 103(1)(a) akta sama, yang membawa hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda maksimum RM3 juta atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Turut disabitkan kesalahan adalah Johari yang didakwa mengikut Seksyen 112(1)(c) BAFIA, kerana bersubahat dengan Mohd Rafizi pada tarikh dan alamat yang sama.
-- BERNAMA
#akaun bank #BAFIA #Bebas #butiran sulit #Johari Mohamad #kerani bank #mahkamah #maklumat sulit #NFC #pembebasan #pendakwa raya #Perbadanan Fidlot Nasional #perbankan #Rafizi Ramli #rayuan #sulit #tarik balik
;