Dedah lokasi premis untuk mudahkan orang ramai tampil buat saringan - Uggah

Astro Awani
Januari 23, 2021 17:45 MYT
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, pendedahan lokasi premis yang pernah dikunjungi pesakit COVID-19 adalah untuk memudahkan orang ramai tampil membuat saringan. - Gambar Fail
SAMARAHAN : Pendedahkan terhadap lokasi yang pernah dikunjungi oleh individu positif COVID-19 yang melibatkan premis-premis di Sarawak bukan bertujuan untuk menyusahkan pemilik premis.
Sebaliknya, kata Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, langkah itu diambil atas dasar kepentingan dan keselamatan orang ramai.
Ujarnya, dengan cara itu, mereka yang pernah berkunjung ke premis yang disenaraikan boleh tampil untuk melakukan ujian saringan.
"Tiada tujuan lain. Kita tidak bertujuan untuk menyusahkan pemilik kedai. Malah, mereka juga ingin tahu sekiranya terdapat pelanggan yang berkunjung ke premis mereka.
"Jadi kita berharap semua pihak memberikan kerjasama. Sama seperti yang berlaku di Sibu baru-baru ini. Mereka keluar (melakukan saringan) dan pihak kita memperoleh sampel sehingga lebih 10 ribu," katanya.
Jelas beliau lagi, dalam meningkatkan tahap keselamatan awam di negeri berkenaan, pihak JPBN Sarawak juga ada berbincang serta meneliti keputusan untuk mendedahkan pergerakan pesakit COVID-19.
"Ini bertujuan untuk menentukan bahawa sekiranya terdapat individu yang telah melawat tempat (yang dikunjungi pesakit COVID-19) pada tarikh dan waktu yang tertera, mereka boleh ke hospital atau pusat kesihatan bagi membuat saringan. Jadi, ini penting," tegas beliau.
Mengulas mengenai pusat kuarantin di seluruh Sarawak, Uggah memaklumkan ia masih mencukupi.
Dalam masa yang sama, pihak JPBN Sarawak juga akan berupaya mengimbangi jumlah penerbangan masuk ke Sarawak dengan kuantiti pusat kuarantin di negeri itu.
"Kita melihat kepada beberapa kes sebelum ini. Terdapat individu yang didapati positif pada hari ke 11 atau 12 (selepas kuarantin), maka atas nasihat Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak, kita menyambung semula perlaksanaan kuarantin 14 hari seperti sebelum ini.
"Mungkin agak menyusahkan. Ini termasuk ada yang dikenakan bayaran dan ada yang tidak dikenakan bayaran. Namun, ini adalah norma baharu. Jadi saya berterima kasih kepada semua atas pengorbanan mereka," jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan di pasar Bandar Riyal Samarahan pada Sabtu.
#Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak #Datuk Amar Douglas Uggah Embas #JPBN Sarawak #COVID-19 #pandemik #Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak
;