Debat terbuka pembangkang raih publisiti murahan
Bernama
Januari 22, 2013 17:37 MYT
Januari 22, 2013 17:37 MYT
Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir Selasa menyifatkan tindakan pembangkang menjemput Barisan Nasional (BN) ke debat terbuka adalah untuk meraih publisiti murahan bagi menunjukkan BN seolah-olah takut untuk berdebat.
Beliau berkata pihak tersebut mahu menarik sentimen rakyat bagi membuktikan mereka ini berada di pihak yang benar.
"Saya fikir orang yang rasa bersalah saja akan mengajak berbuat demikian...sebab itu saya tidak mahu melayan apatah lagi berdebat dengan Nizar (Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin), lagipun semua orang tahu mengenai kualiti dia (Nizar) di dalam dan luar dewan (sidang DUN)," kata Zambry kepada pemberita pada Hari Bertemu Pelanggan di sini, Selasa.
Akhbar baru-baru melaporkan pembangkang menjemput pimpinan negeri untuk menyertai Debat Darul Ridzuan esok anjuran mereka bertajuk 'Nik Aziz Rasuah Ngeh Koo Ham; Dr. Zambry Abd Kadir Kayakan Kroni - Siapa Berdusta'.