Debat Taman Manggis: Belum bermula, Rahman dan Guan Eng berbalas serangan di Twitter
Astro Awani
April 9, 2016 09:31 MYT
April 9, 2016 09:31 MYT
Meskipun tarikh untuk mengadakan debat berhubung isu tanah Taman Manggis di Pulau Pinang masih belum ditetapkan, Pengarah Komunikasi Barisan Nasional (BN) Datuk Abdul Rahman Dahlan dan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng tidak dapat menahan diri dari bertukar-tukar serangan di laman Twitter.
Terbaharu, Lim melahirkan rasa kecewa beliau terhadap Abdul Rahman yang dikatakan akan ke luar negara malam ini dan hanya akan kembali pada 15 April.
"Saya akan ke luar negara malam ini. Akan kembali pada 15 haribulan (April). Lawatan saya sudah lama dirancang. Debat selepas itu," nyata Abdul Rahman.
"Adakah @mpkotabelud (Abdul Rahman) mahu berdebat dengan saya di luar negara? Di mana? Baliklah! Kalau saya boleh batalkan lawatan ke China untuk segera berhadapan dengan anda di Parlimen, kenapa tidak anda?" balas Guan Eng.
Tweet tersebut dibalas semula oleh Abdul Rahman, "Bila pula anda berhadapan dengan saya (di Parlimen)? Sebenarnya anda tidak sabar untuk dihalau oleh Speaker! Saya bersedia berhadapan dengan anda."
Lim mempersoalkan keputusan Abdul Rahman itu selepas mencabarnya untuk berdebat sambil mengambil contoh beliau sendiri kembali dari lawatan ke China baru-baru ini untuk menangani beberapa isu membabitkan kerajaan negeri.
Abdul Rahman sebelum itu mengajukan cabaran debatnya terhadap Guan Eng mengenai isu tanah Taman Manggis yang didakwanya sudah ditukar milik dan bukan lagi milik syarikat Kuala Lumpur International Dental Centre (KLIDC) kerana dijual kepada pihak ketiga.
Semalam Radio Televisyen Malaysia (RTM) melahirkan kesediaan menyiarkan secara langsung debat Abdul Rahman Dahlan dan Lim.
Tanah di Taman Manggis, Pulau Pinang mulanya telah diwartakan oleh kerajaan negeri bagi pembinaan rumah mampu milik tetapi rancangan untuk PPRT digantikan dengan cadangan untuk projek pembangunan bercampur pada 2005.
#Abdul Rahman Dahlan
#debat
#KLIDC
#Kuala Lumpur International Dental Centre
#Lim Guan Eng
#Taman Manggis