Debat Perdana: Rakyat pemenang sebenar - Penganalisis politik
Madiha Abdullah
Mei 12, 2022 23:59 MYT
Mei 12, 2022 23:59 MYT
KUALA LUMPUR: Rakyat merupakan pemenang sebenar dalam Debat Perdana yang menampilkan dua figura besar dalam arena politik tanah air, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Najib Razak, pada Khamis.
Pendapat itu diluahkan penganalisis politik dan pensyarah Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Mohd Azizuddin Mohd Sani, yang melihat ia merupakan platform yang memberikan rakyat peluang untuk membuat penilaian tentang isu yang dibangkitkan, secara langsung dan terus.
"Kalau cakap tentang menang, pemenangnya rakyat sebab mereka boleh lihat bagaimana kedua-dua tokoh ini berhadapan antara satu sama lain, membicarakan isu penting negara.
"Cara penyampaian Datuk Seri Najib pada awalnya agak perlahan namun di hujungnya kemudian kita nampak beliau mula tampilkan karakter yang tegas dan nampak meyakinkan.
"Datuk Seri Anwar pula bijak menggunakan intonasi yang sesuai dalam membicara isu-isu yang integral dan sudah lama diperjuangkannya, seperti isu luar bandar dan orang miskin.
"Mereka pasangan yang menarik, pendekatan hujah berbeza tetapi meyakinkan, jadi kalau mahu pilih salah satu, itu terpulang kepada rakyat untuk menilai," katanya ketika ditemui Astro AWANI selepas selesai sesi debat tersebut.
Jelasnya, tempoh satu jam setengah yang digunakan untuk sesi debat itu memaparkan kedua-dua mereka lebih fokus berhujah mengenai isu berkaitan pengurusan ekonomi, berdasarkan perspektif masing-masing.
Azizudin juga berkata pembudayaan debat merupakan perkembangan positif ketika amalan politik negara menjadi semakin demokratik, namun ia memerlukan kerjasama holistik dari pelbagai pihak.
"Kalau boleh diperbanyakkan lagi isu untuk didebatkan, bukan hanya politik atau ekonomi sahaja. Ini satu perkara yang baik untuk membuka minda dan mendidik rakyat.
"Media juga perlu memainkan peranan, bukan sekadar memberi platform tetapi juga menjadi fact-checker, seperti yang diamalkan di Amerika Syarikat, dengan kerjasama ahli akademik," tambahnya.
Sesi debat antara Presiden PKR yang juga Ketua Pembangkang dan bekas Perdana Menteri itu berlangsung di Auditorium MATIC, dengan menyentuh persoalan sama ada syarikat minyak dan gas, Sapura Energy Bhd perlu diselamatkan atau sebaliknya.