Debat Perdana: Orang Melayu perlu sanggah cadangan Najib selamatkan Sapura Energy

Hasimi Muhamad
Mei 15, 2022 15:55 MYT
Mukhriz juga berpandangan kenyataan Najib mengenai pertumbuhan 'kek ekonomi' harus disanggah oleh keseluruhan masyarakat Melayu.
KUALA LUMPUR: Rakyat khususnya orang Melayu harus bangkit menyanggah kenyataan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semasa berdebat dengan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa Petronas perlu menyelamatkan Sapura Energy Berhad (SEB).
Tegas Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir, cadangan tersebut sekali lagi membuktikan sikap Najib dan kepimpinan UMNO yang tanpa segan silu ingin menyalahgunakan dana rizab negara untuk perkara-perkara yang bercanggah dengan tujuan mutlak adanya rizab itu.
"Walaupun ada ruang rizab negara diguna untuk menyelamatkan syarikat-syarikat bagi tujuan strategik yang memberi manfaat kepada negara, namun, semestinya tidak terpakai bagi syarikat yang punca masalahnya ialah pengurusan yang tidak mengamalkan etika kerja dan tadbir yang baik.
"Kenyataan Najib itu manifestasi kebrobokan pemimpin UMNO kebelakangan ini yang sering menyalahguna dasar kerajaan yang baik hanya untuk kepentingan peribadi mereka.
"Dasar yang bertujuan untuk mengangkat kedudukan Melayu dirampas dan dimanipulasi untuk kepentingan peribadi. Mereka cekap berselindung di sebalik matlamat agensi kerajaan yang diperuntukan geran kerajaan yang pada hakikatnya adalah dana awam, untuk dicuri," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Ahad.
Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Jerlun itu berkata, perlu diingatkan juga tujuan penubuhan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) duhulu adalah untuk memacu pembangunan ekonomi jangka panjang dan pertumbuhan Malaysia yang mampan untuk manfaat rakyat.
Namun, ujarnya, penyelewengan dana kerajaan seperti di 1MDB yang didakwa dilakukan oleh Najib dan konco-konconya merupakan pengkhianatan terbesar kepimpinan UMNO sekarang terhadap orang Melayu.
"Kalau tujuan DEB (Dasar Ekonomi Baharu) adalah untuk mengagihkan kekayaan dari pertumbuhan ekonomi, skim cepat kaya 1MDB menyusut kewangan negara dengan bebanan hutang yang akhirnya ditanggung oleh rakyat.
"Akibatnya, bukan sahaja dasar yang mempunyai objektif yang baik itu gagal, malah pihak lain, khususnya bukan Melayu menolak dasar itu disebabkan kerenah UMNO dan pe’el (kelakuan) jelek pemimpinnya.
"DEB dipersalahkan sebagai bertujuan untuk memesong khazanah negara untuk memperkayakan pemimpin UMNO. Walhal ramai Melayu dan bukan Melayu miskin yang perlukan pembelaan seperti yang dihasratkan oleh DEB," tambah beliau lagi.
Selain itu, Mukhriz juga berpandangan kenyataan Najib mengenai pertumbuhan 'kek ekonomi' harus disanggah oleh keseluruhan masyarakat Melayu.
Ini kerana, katanya, niat di sebalik kenyataan itu tentunya bertentangan dengan tujuan DEB, serta pengkhianatan pemimpin UMNO sekarang terhadap Melayu harus disekat dengan penolakan Melayu terhadap UMNO secara menyeluruh.
"Cukup-cukuplah dengan laungan “Hidup Melayu!” yang dijadikan perisai untuk songlap duit rakyat masuk kocek pemimpin UMNO.
"Melayu tidak rela diperkudakan oleh UMNO lagi. Melayu tahu yang mana kaca yang melukakan, yang mana berlian yang gemerlapnya menerangi laluan yang kelam," ujar Mukhriz lagi.
Pada sesi Debat Perdana 12 Mei lalu, Najib antaranya mengesyorkan agar Petronas mengambil alih SEB, sekali gus dapat menjamin dan menyelamatkan RM7 bilion kontrak SEB.
#1MDB #debat Najib Anwar #Parti Pejuang #Politik Malaysia
;