Debat Perdana: Najib selar dakwaan Mukhriz berkaitan isu Sapura Energy

Sinar Harian
Mei 15, 2022 23:56 MYT
Najib menyelar dakwaan Presiden Parti Pejuang Tanahair (Pejuang), Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang mengatakan beliau mahu menyalahgunakan dana rizab negara dalam menyelamatkan Sapura Energy Berhad (SEB). - Gambar fail/Astro AWANI
SHAH ALAM: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyelar dakwaan Presiden Parti Pejuang Tanahair (Pejuang), Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang mengatakan beliau mahu menyalahgunakan dana rizab negara dalam menyelamatkan Sapura Energy Berhad (SEB).
Menurutnya, tindakan untuk meminta kerajaan membantu syarikat perkhidmatan minyak dan gas kedua terbesar di dunia itu adalah kerana ia mempunyai kepentingan strategik atau peluang menyelamatkannya adalah cerah.
“Dia (Mukhriz) pun petik nama orang Melayu tanpa sedar bahawa kerajaan ayah dia juga yang gunakan wang Amanah Saham Bumiputera (ASB) orang Melayu sebanyak RM2.7 bilion pada tahun 2019 untuk bailout Sapura dan menjadikannya sebagai syarikat GLC (Syarikat Berkaitan Kerajaan).
“Kini Najib nak selamatkan wang orang Melayu yang telah dipertaruhkan dan telah hilang sebanyak 95 peratus nilainya bagi pelaburan dalam Sapura ini.
“Dia pula suruh orang Melayu jangan selamatkan dana orang Melayu,” katanya dalam satu hantaran di Facebooknya pada Ahad.
BACA: Debat Perdana: Orang Melayu perlu sanggah cadangan Najib selamatkan Sapura Energy
Pada Ahad, Mukhriz berkata, saranan Najib agar Petronas wajar menyelamatkan Sapura Energy seharusnya disanggah oleh rakyat, khususnya orang Melayu.
Jelas Mukhriz, ini kerana ia menyerlahkan sikap Najib dan kepimpinan UMNO yang tanpa segan silu ingin menyalahgunakan dana rizab negara untuk perkara yang bercanggah dengan tujuan mutlak rizab itu.
Menurut Mukhriz lagi, niat di sebalik kenyataan Najib itu juga dilihat bertentangan dengan tujuan penubuhan Dasar Ekonomi Baru (DEB).
Artikel asal di Sinar Harian
#Najib Razak #Mukhriz Mahathir #Sapura Energy #SEB #dana rizab negara
;