Debat Perdana: Najib mahu 'besarkan kek ekonomi', Anwar jawab 'jangan makan kek seorang'
Firdaus Azil
Mei 12, 2022 23:30 MYT
Mei 12, 2022 23:30 MYT
KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menggunakan analogi bahawa ekonomi negara seperti sebuah kek, yang perlu dibesarkan supaya ia dapat diagihkan kepada kesemua lapisan masyarakat.
Sewaktu berhujah di program Debat Perdana malam ini, Ahli Parlimen Pekan itu berkata, soal ekonomi perlu mempunyai dua cabang – iaitu ekonomi kapital dan ekonomi rakyat.
Atas sebab itu beliau berkata, Kerajaan Barisan Nasional sewaktu zamannya banyak mewujudkan projek berskala besar, dan juga melaksanakan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) untuk mengukuhkan ekonomi negara.
“Bila sebut tentang projek mega, projek besar, dan juga pelaburan yang datang dalam Malaysia, ia bertujuan untuk … saya nak guna analogi Tun Abdul Razak – bahawa ekonomi bagaikan kek.
“Kita besarkan kek itu dulu, bila kek itu sudah besar, dengan pelaburan tambahan, projek infrarakyat, Pan Borneo, CSR, MRT dan sebagainya, bila kek itu lagi besar, kita boleh hiris kek itu, potong kek itu bagi kepada rakyat, dan akhirnya rakyat akan untung
“Saya nak nyatakan bahawa, apabila kita sebut tentang nak tolong rakyat, daripada kek besar, ini termasuk kita mempunyai hasil yang besar daripada GST. Kalau hari ini ada GST, kita dah mempunyai hasil tambahan RM30 bilion. Ini semua kita gunakan untuk apa? Untuk bagi subsidi kepada nelayan, kepada petani, pada pekebun kecil,” katanya lagi.
Namun, Najib berkata, Kerajaan Pakatan Harapan mengambil langkah sebaliknya sewaktu mereka memerintah, iaitu ‘mengecilkan kek ekonomi’, dengan mejual aset penting negara seperti IHH, Duo Residence, dan aset-aset di luar negara.
Katanya lagi, dasar yang dilaksanakan PH dengan menjual aset, seolah-olah bukan sahaja mengecilkan kek ekonomi itu, tetapi juga menjual ‘ketuhar’ yang digunakan untuk menghasilkan kek tersebut.
Najib berkata demikian dalam program Debat Perdana bersama Pengerusi Pakatan Harapan, yang juga bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang berlangsung di ibu negara, malam ini.
Mengulas mengenai perkara itu, Anwar berkata: "Jika nak besarkan kek ekonomi, harus dipastikan kek itu tidak hanya memberi manfaat kepada sesetengah pihak sahaja.
“Sebab itu kalau ada kek, jangan kek itu kita makan seorang. Kek kalau kita besarkan, siapa nak tentukan pembahagian itu adil? Orang tengok kek itu, elit politik makan banyak. Macam filem musang berjanggut - satu untuk kamu, satu untuk aku. Untuk aku banyak, untuk kamu sikit.
“Saya katakan bermula dengan masalah pengurusan kerajaan, integriti, pertanggungjawaban, pembentangan dan perbahasan terbuka. Dibangkitkan soal GST, saya pernah sebut, dan ini pernah diulang oleh Datuk Seri Najib, bahawa ia satu sistem yang efisyen. Tapi rakyat yang sekarang ini menganggur, pendapatan rendah, janganlah kutip dari dia,” katanya lagi.
Anwar berkata, beliau tiada masalah untuk membawa perbahasan baharu mengenai pelaksanaan GST di Parlimen, namun, masalah rakyat menurutnya lagi, tidak akan selesai semata-mata dengan pengenalan program seperti itu, yang beliau sifatkan sebagai “penyelesaian mudah”.
“Sekarang ada masalah keyakinan, dan mesti dipulihkan semula, supaya rakyat bersama dengan kita. Rakyat yang gaji rendah, dapat pembelaan. Sebab itu saya cakap soal pekerjaan, pertanian, soal nasib pekerja.
“Ini masalah pekerja, sekarang ini tak terkendali. Apa disebut kelemahan Pakatan Harapan itu, sebenarnya jauh berjaya dalam atasi masalah kos sara hidup. Oleh demikian, kadang-kadang berita baik itu tidak enak didengar, tapi harus dihadam dan dilihat, seperti harga ayam pada 2019 berbanding harga ayam sekarang,” katanya lagi.