Debat Perdana: Najib, Anwar bentang fakta zaman siapa lebih hebat urus kewangan negara
Firdaus Azil
Mei 12, 2022 00:13 MYT
Mei 12, 2022 00:13 MYT
KUALA LUMPUR: Debat Perdana malam ini menyaksikan dua bekas Menteri Kewangan- Datuk Seri Najib Razak dan Datuk Seri Anwar Ibrahim, membentangkan fakta mengenai pengurusan kewangan negara pada era masing-masing.
Najib, yang juga bekas Perdana Menteri, berkata, sepanjang sembilan tahun menerajui Kerajaan Barisan Nasional, pekali Gini (Gini coefficient) negara, iaitu jurang pendapatan antara golongan kaya dan miskin menjadi semakin kecil.
Namun, tambah Ahli Parlimen Pekan itu lagi, jurang itu kembali melebar sewaktu Pakatan Harapan (PH) memerintah negara selama 22 bulan.
“Ini statistik perangkaan dari Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), di mana Gini-coefficient, yang tentukan pendapatan antara kaya dan miskin, selama sembilan tahun di bawah BN, ia semakin kecil. Tetapi 22 bulan di bawah PH ia semakin melebar.
“Ini bererti dasar BN lebih adil pada orang miskin, pada B40, berbanding dasar kerajaan PH. Ini fakta, dan saya boleh cabar sesiapa pun, kerana ini fakta, bukan propaganda, bukan sekadar retorik,” katanya lagi.
Selain itu, Najib berkata, Malaysia sewaktu zaman beliau telah mengalami kadar pertumbuhan ekonomi antara yang tertinggi dalam rantau ini, selain kemasukan pelaburan asing yang meningkat, pengukuhan ringgit, serta peningkatan mata Bursa Malaysia paling lama di dunia.
Selain itu, beliau berkata, Khazanah Nasional sewaktu di bawahnya menyaksikan peningkatan nilai aset daripada RM34 bilion kepada RM114 bilion, namun menjunam kepada RM79 bilion selepas PH mengambil alih kerajaan.
Menjawab soalan Anwar tentang mengapa era beliau dilihat tidak begitu menitikberatkan soal pembasmian rasuah, Najib menafikannya.
Katanya lagi, jika PH begitu serius memerangi rasuah, maka tak akan terjadi dalam sejarah Malaysia seperti mana Peguam Negara dan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia datang daripada lantikan politik.
Bercakap mengenai soal kecekapan pengurusan kewangan, Anwar pula menjelaskan, sewaktu beliau menjadi Menteri Kewangan pada era 90-an, belanjawan negara mencatatkan lebihan sebanyak RM20 bilion, berbanding zaman Najib yang meninggalkan tanggungan RM90 bilion.
Selain itu, Anwar berkata, tak perlu berbicara soal pertumbuhan ekonomi, sekiranya negara masih ketinggalan berbanding negara serantau lain seperti Thailand dan Asean.
Dalam pada itu, menjawab soalan Najib tentang mengapa Anwar tidak berbuat apa-apa mengenai skandal Forex yang nilai kerugiannya sekitar RM30 bilion (RM150 bilion hari ini), Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata tiada masalah jika siasatan mahu dibuka sekarang.
“Ini beza saya dengan Datuk Seri Najib. Saya tidak mahu mana-mana kes, melibatkan mana mana ahli politik, guna jentera politik unutuk tutup kes, dera orang. Saya tak suka jentera politik, jentera kerajaan diperalat untuk tekan musuh politik.
“Saya sebut di Parlimen, tak mahu guna alasan mantan PM, mantan KP SPRM, Peguam Negara dan sebagainya, (kononnya) keputusan itu menghalang kita. Tak ada masalah.
"Perdana Menteri sekarang UMNO, buatlah mesyuarat Majlis Tertinggi, arahlah siasatan. Ini tiga suku Ahli MT (di barisan penonton) ada. Ambil arahan, tapi jangan lupa ramai (akan) terpalit, termasuk di sebelah sana,” katanya lagi.