Debat Perdana: Misi hala tuju negara perlu dimula dengan kembalikan keyakinan rakyat - Anwar
Firdaus Azil
Mei 12, 2022 22:26 MYT
Mei 12, 2022 22:26 MYT
KUALA LUMPUR: Keyakinan rakyat perlu dikembalikan bagi membolehkan kerajaan merencana masa depan negara dengan lebih baik, tegas Pengerusi Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Sewaktu berhujah di majlis Debat Perdana malam ini, Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata, rakyat dilihat sudah mual dengan percaturan politik serta rencana pemunggahan kekayaan oleh elitis politik.
Tegasnya lagi, keutamaan kerajaan perlu diletakkan kepada soal pembasmian gejala rasuah, yang beliau sifatkan sebagai sistemik, berbanding zaman Allahyarham Tun Abdul Razak pada era 60-an dahulu.
“Saya yakin permulaan ini mesti dengan pengurusan yang lebih baik. Orang mual dengan politik sekarang ini, dengan percaturan politik dan perebutan dan pemunggahan kekayaan dan pimpinan. Oleh demikian, harus bawa semula keyakinan baharu untuk nyatakan bahawa politik dan pimpinan tak lain dari taklif, amanah … dan ini dengan membersihkan negara dari rot yang ada iaitu rasuah.
“Dan ini tidak terkait dengan satu atau dua orang sahaja. Saya sebut sistemik, yang perlu ditangani begitu baik, kemudian isu dibahaskan sejak 1961 saya ingat, Tun Abdul Razak sebut tentang masalah yang akan dihadapi negara - communism, communalism dan corruption,” katanya lagi.
Anwar berkata, masalah rasuah yang dihadapi negara pada masa kini jauh lebih buruk berbanding zaman Tun Abdul Razak, dan diparahkan lagi dengan soal perkauman.
Beliau berkata demikian sewaktu pusingan kedua Debat Perdana bersama bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, iaitu mengenai hala tuju dan masa depan negara.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, tiada guna jika kerajaan terus menyebut soal projek mega untuk mengukuhkan ekonomi negara, jika soal kebajikan asas rakyat seperti bekalan air bersih, mutu pendidikan dan akses kesihatan tidak diperbaiki dahulu.
“Ada yang terpencil daripada arus pembangunan perdana, sehingga masalah air tak selesai sampai sekarang, mutu pendidikan, kesihatan, dan sebagainya. Ini kemampanan yang menuntut pimpinan untuk ada pengarahan dan keutamaan jelas.
“Saya lihat keutamaan nak selamatkan syarikat gergasi, sedangkan kita perlu selamatkan rakyat dahulu. Pendidikan, harga barang, kos sara hidup itu perlu jadi keutamaan.
“Masa depan negara termasuk soal persekitaran, perubahan iklim, prasarana asas. Mana mungkin rakyat terima politik ganas dan angkuh, tanpa rasa kasih sayang dah rahmah, ini menjangkau semua kaum dan semua wilayah di negara kita,” katanya lagi.