Debat Perdana Anwar - Najib, bukti politik Malaysia lebih terbuka dan sihat
Fareez Azman
Mei 11, 2022 20:17 MYT
Mei 11, 2022 20:17 MYT
KUALA LUMPUR: Debat Perdana antara Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak yang bakal berlangsung esok membuktikan gelanggang politik Malaysia lebih terbuka dan sihat, kata Timbalan Yang di-Pertua Dewan Negara, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad.
Menurut beliau, pertembungan dua sosok tokoh politik negara di pentas perdebatan itu bukan untuk membuktikan siapa yang menang atau kalah, sebaliknya, mematangkan demokrasi di negara ini.
"Debat Perdana antara dua tokoh politik negara ini telah membuktikan kematangan politik Malaysia dan mematangkan demokrasi dalam negara ini. Ia adalah satu budaya yang sihat.
"Debat ini bukanlah untuk membuktikan siapa hebat siapa lemah tetapi bertukar ideologi yang lebih kearah membangunkan negara dengan lebih baik dan proaktif," jelas beliau dalam kenyataan media yang dikeluarkan hari ini.
Tambah Mohamad Ali, kedua-dua tokoh itu juga pernah menjawat jawatan yang sama iaitu Menteri Kewangan suatu ketika dahulu dan mempunyai pencapaian tersendiri.
Meskipun kedua-dua tokoh terbabit bukan dari satu parti yang sama, namun, apa yang wajar dibanggakan ialah kematangan mereka berdua berdebat amat dinantikan rakyat.
Lebih-lebih lagi tambah beliau, rakyat berpeluang membezakan situasi ekonomi ketika masing-masing menjawat jawatan Menteri Kewangan.
"Sehubungan dengan itu saya merumuskan bahawa debat ini amat baik dan membuktikan politik Malaysia lebih terbuka dan sihat.
"Daripada bercakap dan bertikam lidah dalam sosial media. Berdebat secara terbuka dan ilmiah lagi baik kerana rakyat dapat menilai kebijaksanaan dan kehebatan tokoh politik berfikir dan berjuang demi kebaikan rakyat dan negara," kata beliau lagi.
Debat Perdana antara Anwar dan Najib akan diadakan di Auditorium MATIC di ibu negara, pada esok (Khamis), 12 Mei 2022.