Debat MRSM Se-Malaysia Piala TPM 2024 garap kualiti pengucapan awam pelajar
Amzar Alif
Jun 7, 2024 13:09 MYT
Jun 7, 2024 13:09 MYT
KUALA LUMPUR: Debat MRSM Se-Malaysia kembali lagi tahun ini melibatkan kesemua 57 Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) bagi merebut Piala Timbalan Perdana Menteri dengan tiga kategori dipertandingkan iaitu Debat Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Bahasa Arab.
Menurut Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Asyraf Wajdi Dusuki, program tahunan itu bertujuan mencetuskan fenomena atau minat generasi muda terhadap pengucapan awam demi kecemerlangan pelajar yang bersifat holistik.
Tema tahun ini ‘Debat Epitome Minda Madani’ menekankan pentingnya menghormati pendapat orang lain dengan menitikberatkan kesantunan berbahasa dalam melahirkan suri teladan yang unggul.
“Dalam konteks pembangunan sahsiah dan kualiti akal budi modal insan MRSM ini perlu kita garapkan dengan nilai-nilai kritis, inovatif serta keupayaan untuk berhujah yang amat diperlukan dalam dunia sebenar.
“Dan sudah tentu program debat seperti ini akan dapat banyak membantu kerana kita bukan hanya lihat dalam konteks pertandingan semata-mata tetapi soal latihan, persediaan dan juga soal pembangunan insan itu berlaku sepanjang proses tersebut,” katanya selepas merasmikan pelancaran Debat MRSM Se-Malaysia Piala TPM 2024 di Anjung Korporat, Ibu Pejabat MARA pada Khamis.
Sehubungan itu, beliau berharap agar platform seperti ini mampu menjadi batu loncatan buat mereka yang terlibat untuk ke peringkat yang lebih tinggi.
“Saya melihat debat di peringkat MRSM ini sebagai permulaan penting untuk dapat pergi dengan lebih jauh lagi.
“Saya menganjurkan kepada mereka bagi yang Johan nanti untuk terlibat juga dalam pelbagai pertandingan anjuran di peringkat Universiti dan juga hatta di peringkat antarabangsa,” ujarnya.
Pertandingan yang berlangsung bermula 7 hingga 10 Jun ini bakal mengambil tempat di MRSM Felda Trolak dengan sasaran seramai 502 penyertaan pelajar daripada tingkatan 1 hingga 5.
Antara rakan strategik terlibat termasuk Muafakat MARA Malaysia dan Dewan Bahasa dan Pustaka serta para penaja seperti Affin Bank, SEDA, CelcomDigi, FELDA, Bank Simpanan Nasional, Mahir Publisher, FELCRA, dan MALAKOFF.
“Sudah tentu dengan keterlibatan penaja-penaja yang ramai tahun ini berbanding tahun lepas, ia membuktikan bahawa institusi-institusi di luar daripada kerangka pendidikan turut sama membantu penganjuran program ini dan kita berharap akan datang lebih ramai lagi,” tambahnya.
Program tahunan Bahagian Pendidikan Menengah MARA pertama kali diadakan pada tahun 2009 hanya melibatkan kategori Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris namun menjelang tahun 2019 kategori Bahasa Arab diwujudkan terbuka kepada pelajar MRSM Ulul Albab.
Pada tahun 2023, YAB Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi telah mengumumkan pertandingan ini sebagai Pertandingan Debat MRSM Se-Malaysia Piala Timbalan Perdana Menteri semasa ucapan perasmian Hari Anugerah Pendidik MARA 2023.