Debat Intervarsiti MTC galak teroka kegunaan, kepentingan kayu
Madiha Abdullah
Disember 5, 2023 19:02 MYT
Disember 5, 2023 19:02 MYT
KUALA LUMPUR: Majlis Kayu-Kayan Malaysia atau Malaysian Timber Council (MTC) memperkenalkan Pertandingan Debat Intervarsiti yang julung kali diadakan dengan tujuan menarik minat pelajar universiti untuk meningkatkan kesedaran tentang kayu, alam sekitar dan isu kemampanan.
Ketua Pegawai Eksekutif MTC, Noraihan Abdul Rahman berkata matlamat itu tidak terhad pada pertandingan semata-mata tetapi juga untuk memberi inspirasi kepada generasi muda dan masyarakat dalam mewujudkan masa depan yang lebih mampan.
“Debat ini diadakan untuk meningkatkan kesedaran di kalangan pelajar mengenai isu kelestarian dan alam sekitar.
“Dalam tempoh tiga hari lepas, kami telah menyaksikan 16 pasukan daripada 11 universiti berbahas secara teliti dan merangsang pemikiran melalui usul yang dibentangkan.
“Kami berharap pertandingan ini dapat membantu pelajar-pelajar untuk mendapat persepsi yang betul tentang industri perkayuan serta pengurusan hutan secara mampan,” katanya Ketika ditemui selepas tamat acara.
Debat ini mendapat kerjasama strategik Majlis Debat Universiti Malaysia (MADUM) dan Jabatan Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan Tinggi.
Ia membawa tema "Penggunaan Kayu dan Kesannya terhadap Alam Sekitar" di mana peserta berpeluang untuk meneroka kelebihan dan cabaran yang berkaitan dengan sumber kayu dan alam sekitar.
Universiti Malaya muncul sebagai pemenang utama membawa hadiah wang tunai RM10,000, manakala tempat kedua disandang Universiti Teknologi MARA. Hadiah tunai berjumlah RM26,000 telah disumbangkan oleh MTC untuk pertandingan ini.