Debat Ekonomi: Syahir mohon doa ke Angkasapuri
Azyyati Ahmad
Ogos 9, 2023 11:54 MYT
Ogos 9, 2023 11:54 MYT
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Bachok, Syahir Sulaiman memohon doa agar langkahnya ke Angkasapuri malam ini bagi menyertai debat bersama Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berjalan dengan tenang.
Mengiringi hantaran di Facebook beserta gambarnya semasa usia kanak-kanak di Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI), Syahir berkata, beliau tidak pernah terfikir akan berdebat dengan seorang menteri suatu hari nanti.
"Budak PASTI ini tidak pernah terfikir, suatu hari nanti dia akan berdebat dengan seorang menteri. Doakan saya melangkah ke Angkasapuri dengan tenang," tulis beliau.
Syahir yang juga Penolong Setiausaha Agung Pas akan berhadapan dengan Rafizi iaitu Timbalan Presiden PKR.
Kedua-dua pemimpin muda ini akan membincangkan tajuk “Model baru ekonomi Malaysia”
Debat antara Syahir dan Rafizi akan disiarkan secara langsung jam 9.30 malam ini di saluran RTM dan Astro AWANI.