Debat Ekonomi: Cerakin, hadamkan isi hujah Rafizi dan Syahir
Firdaus Azil
Ogos 9, 2023 07:30 MYT
Ogos 9, 2023 07:30 MYT
KUALA LUMPUR: Debat Model Ekonomi Baharu Malaysia antara Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli dan Ahli Parlimen Bachok, Mohd Syahir Sulaiman yang disiarkan secara langsung di Astro AWANI dan RTM malam tadi nyata memberi perspektif yang segar kepada rakyat Malaysia.
Buat RTM yang kini di bawah teraju Ketua Pengarah Penyiaran, Suhaimi Sulaiman, kerana pertama kali dalam sejarah penubuhannya, disiarkan debat antara seorang Menteri Persekutuan dan seorang Ahli Parlimen dari blok Pembangkang.
Bagi Astro AWANI pula, budaya debat adalah sesuatu yang sinonim, kerana sentiasa menjadi misi saluran berita ini untuk membudayakan debat dan persaingan idea dalam kalangan masyarakat dan pemimpin.
Pusingan pertama Rafizi vs Syahir
Satu perkara yang pasti, Syahir hadir dalam keadaan ‘handicapped’, kerana malam tadi Penolong Setiausaha Agung Pas itu tampil berhadapan dengan Rafizi, seorang sosok yang dikenali cukup sinonim dalam silat dan seni debat.
Apatah lagi Rafizi, yang juga Timbalan Presiden PKR, merupakan seorang menteri yang bertanggungjawab menguruskan hal ehwal dan perancangan ekonomi negara.
Namun Syahir mengakui dua perkara – ini pertama kali beliau berdebat, dan ditakdirkan debat umum pertama beliau adalah dengan seorang Menteri Ekonomi.
“This is not really a level playing field. Bagaikan gajah bertemu sang kancil. Saya kancil sahaja, tetapi kancil ini panjang akalnya,” kata Syahir pada awal hujahnya.
Rafizi memulakan sesinya dengan menggariskan tiga masalah struktur utama yang beliau gambarkan, berkait antara satu sama lain.
“Pertamanya, ekonomi kita semakin ketinggalan berbanding pesaing kita. Kita terlalu selesa dengan limpahan ekonomi yang dibawa industri berdasarkan kepada kekayaan semula jadi kita. Contohnya minyak, contohnya peladangan.
“Keduanya gaji yang dibayar kepada rakyat terlalu rendah dan tidak naik seiring dengan harga barang sejak 20 tahun lalu. Antara perkara pertama saya lakukan ialah mengarahkan supaya statistik gaji diusahakan. Laporan statistik menunjukkan bahawa gaji rendah adalah masalah struktur nombor dua dalam ekonomi negara kita.
“Masalah tadi bawa ke masalah ketiga – iaitu kedudukan kewangan kerajaan yang lemah. Pertumbuhan ekonomi negara dilihat lebih perlahan disebabkan kerajaan sebelum ini bergantung kepada berhutang, dan mewujudkan pakej rangsangan ekonomi,” katanya lagi.
Syahir, lulusan Sarjana Pembangunan dari Universiti Malaysia, memulakan langkahnya dengan membentangkan model ekonomi Kestabilan Nasional, yang disandarkan kepada empat teras – Keadilan Ekonomi; Kitaran Ekonomi; Kesederhanaan Ekonomi; dan Integriti Ekonomi.
“Dalam keadaan negara ini ekonominya tak stabil, Perdana Menteri tak stabil, ke hulur naik helikopter dan berlagak seperti selebriti tetapi tiada hala, tuju tiada legasi. Negara ini perlukan kestabilan, dan saya letakkan national stability sebagai matlamat model baharu ekonomi Malaysia.
“Maka apabila matlamat jelas, we need stability … bukan seperti Ekonomi Madani yang mahu menjadikan Malaysia sebagai antara 30 ekonomi terbesar dalam dunia, (kononnya) we want to be among the biggest, but it doesn’t mean the best. We want to be the best, stable … namun apa guna jika kaya itu terus kaya, yang miskin semakin miskin,” katanya lagi.
Dakwa Syahir, beliau melihat kandungan Ekonomi Madani yang dibentangkan Anwar, mempunyai banyak persamaan dengan dokumen yang diterbitkan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), sehingga boleh dipersoalkan apakah sebenarnya ‘kiblat ekonomi’ negara ini.
Pusingan kedua Rafizi vs Syahir
Pusingan kedua menyaksikan kedua-dua pemimpin politik ini perlu menjawab soalan yang dilontarkan moderator Dzulfitri Yusop dan Sayed Munawar Sayed Mohd Mustar.
Menjawab persoalan apa yang boleh dipelajari dari dasar ekonomi terdahulu, Rafizi berkata, adalah penting untuk mengenal pasti permasalahan atau ‘langkah kiri’ yang menyebabkan pertumbuhan ekonomi negara terjejas sehingga ke hari ini.
“Pertama, konsep pentadbiran dahulu untuk melonjakkan kegiatan ekonomi ke arah nilaian tinggi, adalah dengan mengambil jalan projek mega. Sebab itu ketika itu ada ETP, GTP yang berpuluh projek berbillion dan kita ada projek skala besar - MRT, ECRL, termasuk 1MDB. Akhirnya keadaan itu sebenarnya tak selesaikan masalah struktur, tetapi hanya kosmetik untuk beri gambaran, negara kita sedang rancak ekonominya.
“Sekarang pendekatan berbeza, setiap satu kerangka yang diluncurkan setakat ini, baik Ekonomi Madani, baik Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara, Kajian Separuh Penggal RMK, tak ada satu pun dibuat oleh perunding. Kalau Syahir cuba beri persepsi ini ditiru daripada IMF, cakaplah dengan pegawai kerajaan yang selama ini (bertungkus lumus) buat kerja,” katanya lagi.
Selain itu, Rafizi berkata, satu perkara yang gagal diberi perhatian dalam Model Ekonomi Baharu 2010 ialah soal gaji pekerja, sehingga memerlukan Kerajaan Perpaduan masa kini membuat campur tangan secara terus untuk meningkatkan kesejahteraan hidup pekerja.
Sementara itu, menjawab persoalan keberanian seseorang pemimpin politik melakukan dasar yang tidak populis, Syahir berkata, terdapat beberapa perkara yang dilakukan bekas Mursyidul Am Pas Allahyarham Tan Sri Nik Abdul Aziz Nik Mat sewaktu menerajui Kerajaan Negeri Kelantan dahulu.
Beliau berkata, Nik Abdul Aziz pernah mengarahkan akaun kewangan negeri diletakkan di institusi perbankan yang mengamalkan konsep Islam dan akhirnya menyebabkan kebanyakan institusi perbankan utama negara ini memperkenalkan konsep yang serupa.
Contoh itu, tegas Syahir lagi, membuktikan ada perkara-perkara yang mungkin dilihat tidak populis, namun boleh dilaksanakan kerana kebaikan yang boleh memberi manfaat kepada rakyat.
Pusingan ketiga Rafizi vs Syahir
Dalam pusingan ketiga, Syahir membangkitkan isu bagaimana Kelantan seolah-olah dianaktirikan, terutamanya dari segi peruntukan untuk pengurusan dan pembangunan infrastruktur, dan hak yang dinafikan seperti royalti minyak.
Beliau berkata, sejak 33 tahun Pas memerintah, nikmat ‘federalism’ itu langsung tidak dinikmati, melainkan dua tahun negara diterajui Perdana Menteri ke-8, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Perdana Menteri ke-9, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
“Kecuali dua tahun saja apabila Kerajaan Kelantan dan Persekutuan bersama sama di bawah Muhyiddin dan Ismail Sabri. Dua tahun ini, baru ada proposal atas meja tentang nak restructure air, nak buat empangan, nak buat jalan dan baru boleh Ahli-Ahli Parlimen masuk sekolah. Dulu tak boleh, sekarang (zaman Kerajaan Perpaduan) tak boleh juga,” katanya lagi.
Namun, Rafizi pula menjawab, peruntukan yang diberikan Kerajaan Persekutuan kepada Kelantan jauh lebih tinggi berbanding negeri-negeri lain, tetapi beliau mendakwa ia tidak akan pernah cukup jika pentadbiran dan tatakelola Kerajaan Negeri lemah.
“Masalah kita sekiranya Kerajaan Persekutuan tak kisah jadi parti mana, menjalankan tanggungjawab mengikut Perlembagaan, dah bagi peruntukan, tapi negeri itu tidak cekap mentadbir.
“Jadi ini bukan soalan peruntukan atau Federalism … kalau ada Kerajaan Negeri yang tidak mahir dan hanya berpolitik, akhirnya bagilah empowerment macam mana pun, yang ada ialah bukti seperti Air Kelantan Sdn Bhd yang masih belum selesai,” katanya lagi.
Sementara itu, menjawab soalan Rafizi tentang langkah Pas untuk menghapuskan hutang negara jika mentadbir Malaysia, Syahir secara ringkas berkata, pendirian beliau ialah setiap hutang itu wajib dibayar.
Namun Ahli Parlimen Bachok itu terus membangkitkan keperluan Kerajaan Persekutuan untuk lebih bertolak ansur tentang pembayaran hutang oleh Kerajaan Negeri.
“Saya berpegang kepada prinsip hutang perlu dibayar. Tetapi anak (negeri) dengan ayah (Persekutuan) punya hubungan, itu mungkin perlu ada pertimbangan. Mungkin ditangguhkan. Biasalah, kita kena bayar, tapi kita boleh refinancing atau kita adjust mortgage, itu perkara biasa.
“Dengan bank pun boleh buat (penyelarasan atau penangguhan), Federal Government sebagai ayah kepada State Government juga boleh berbuat demikian. Federal pula dengan Bank Negara dan Bank Negara atau Federal ini juga terbitkan bon, dan bon ini dilanggan oleh institusi seperti PNB, TH. Itulah kitaran hutang dalam negara kita,” katanya lagi.
Kesimpulan Rafizi vs Syahir
Jika anda penyokong mana-mana di antara dua pemimpin ini, sudah pasti anda merasakan pemimpin pilihan andalah yang memenangi debat pada malam ini.
Atau jika anda melayari Tiktok mungkin anda rasa pemimpin itu pemenangnya, di Twitter mungkin anda rasa pemimpin ini pemenangnya.
Tetapi itu bukan soalnya. Pada perdebatan malam tadi, sewajarnya tiada yang menang, tiada yang kalah, tetapi lebih kepada pencerahan tentang permasalahan ekonomi yang sekian lama mengganggu-gugat kemajuan negara dan apa yang harus dilakukan untuk menanganinya. Itu yang harus kita rakyat Malaysia cerakinkan secara bersama.
Namun, ucapan penghargaan sewajarnya diberi kepada Syahir kerana berani menyahut cabaran untuk berhadapan dengan Menteri Ekonomi, biarpun keadaan mungkin tidak begitu menyebelahi diri beliau, seperti mana yang beliau sendiri akui di awal sesi debat.
Apapun tahniah kepada kedua-dua pemimpin ini yang kembali membudayakan ‘debat’ di peringkat atasan.
Semoga rakyat akan terus dibiasakan dengan cara pemikiran kritikal dan persaingan idea, dalam usaha memartabatkan negara.