Debat Dasar Kabotaj: Guan Eng dakwa Ka Siong buat serangan peribadi

Firdaus Azil
Oktober 8, 2021 14:19 MYT
Guan Eng berkata, Ka Siong mungkin berasa marah kerana tidak menyangka beliau akan menerima cabaran untuk berdebat tentang dasar kabotaj Kementerian Pengangkutan. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Kewangan Lim Guan Eng hari ini mendakwa Menteri Pengangkutan Datuk Seri Wee Ka Siong telah melancarkan serangan peribadi kepadanya susulan perdebatan awam mereka mengenai dasar kabotaj.
Dalam satu kenyataan hari ini, Guan Eng, yang juga Setiausaha Agung DAP menegaskan, Presiden MCA itu tetap salah kerana enggan memberikan pengecualian kabotaj, kepada kapal asing yang melakukan kerja pembaikan kabel dasar laut.
Guan Eng berkata, Ka Siong mungkin berasa marah kerana tidak menyangka beliau akan menerima cabaran untuk berdebat tentang dasar kabotaj Kementerian Pengangkutan, sehingga menyebabkan Malaysia terlepas potensi projek infrastruktur kabel bawah laut.
Selain itu, beliau berkata, ia juga menyebabkan Malaysia kehilangan potensi pelaburan RM12-15 bilion dari Facebook dan Google dalam pelaburan digital.
“Saya ingin mengingatkan Ka Siong bahawa serangan peribadi terhadap saya tidak dapat menutup kerugian pelaburan digital berjumlah RM12-15 bilion seperti didedahkan oleh bekas Pengerusi Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) Dr Rais Hussin, akibat Ka Siong menukar pengecualian kabotaj yang diberikan Menteri Pengangkutan Pakatan Harapan Loke Siew Fook sebelum ini.
“Ka Siong telah menyerang Rais di Parlimen sebagai salah untuk mengaitkan dasar kabotaj dengan kehilangan pelaburan kritikal ini. Malangnya, Rais telah meletakkan jawatan beberapa hari kemudian setelah serangan Ka Siong, dengan Rais menyatakan bahawa dia enggan menjadi ‘Yes-man’,” tegas Ahli Parlimen Bagan itu lagi.
Sumber Facebook limguaneng.malaysia
Selain itu, Guan Eng berkata, Ka Siong sendiri mendakwa bahawa Kabinet akan membuat keputusan akhir pada awal Oktober.
“Sekiranya keputusan akan dibuat oleh Kabinet pada awal Oktober, mengapa perdebatan tidak dapat diadakan pada 23 Oktober 2021? Atau adakah Ka Siong mengelirukan Parlimen ketika dia mengatakan bahawa perkara itu akan diputuskan pada awal Oktober?
“Ini bukan sekadar perdebatan politik yang dicabar oleh Ka Siong dengan marah terhadap saya yang disertakan dengan serangan peribadi toksid. Ini bersangkut paut dengan masa depan digital negara kita. Kita perlu melindungi anak muda negara dan masa depan mereka,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Ka Siong, yang juga Ahli Parlimen Ayer Hitam berkata, beliau sudah menyatakan dalam Dewan Rakyat pada 22 September lepas, bahawa Dasar Kabotaj itu akan dibincangkan di Kabinet pada bulan ini.
Sumber Facebook wksbmenglish
“Apabila Kabinet telah membuat keputusan kelak, pejabat saya akan menghubungi serta berbincang dengan penerbit stesen TV untuk mengaturkan tarikh dan masa yang sesuai untuk program bicara atau debat dalam Bahasa Malaysia yang akan disiarkan secara langsung di TV.
“Saya akan memberi cadangan tarikh, tentatif dan biarlah YB Lim Guan Eng memilih tarikh yang sesuai untuk berbicara atau berdebat secara profesional (bukan provisional ya),” katanya lagi.
#Lim Guan Eng #Wee Ka Siong #Dasar Kabotaj #Debat Awam
;