Debat 1MDB tidak jadi masalah jika bantu jernihkan keadaan - Hishammuddin

Bernama
November 1, 2015 17:23 MYT
Kata Hishammuddin debat antara Presiden dan Pengarah Eksekutif 1MDB Arul Kanda dan anggota Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Tony Pua tidak menjadi masalah. - Gambar Fail
Debat terbuka mengenai 1Malaysia Development Berhad (1MDB) boleh diadakan jika ia dapat membantu memperjelaskan kepada orang ramai pelbagai isu membabitkan syarikat itu, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.
Beliau berkata debat antara Presiden dan Pengarah Eksekutif 1MDB Arul Kanda dan anggota Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Tony Pua tidak menjadi masalah untuk diadakan sekiranya ia boleh menjernihkan keadaan.
"Saya secara peribadi menyambut baik debat itu diadakan tetapi kalau ia menjurus kepada kemusnahan dan tidak ada perkara yang membina untuk orang ramai, saya bimbang bahawa ia tidak memberi manfaat kepada kita semua.
"Seperti yang dinyatakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sebelum ini bahawa isu 1MDB harus diselesaikan dengan segera," katanya.
BACA: 'Sudah tiada syarat, Tony Pua, mari kita debat' - Arul Kanda
BACA: Calon pengerusi debat 1MDB: Tun M, Dr Agus Yusoff pilihan netizen
BACA: Saya sahut cabaran anda Tony Pua, kata Arul Kanda
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyertai acara larian amal Malaysian United Run anjuran Institut Onn Jaafar (IOJ) di Padang Merbuk, di sini, hari ini.
Khamis lepas, Arul Kanda dalam satu kenyataan berkata beliau sedia berdebat dengan Pua secara langsung di televisyen dengan syarat anggota Parlimen Petaling Jaya Utara daripada DAP itu meletak jawatan sebagai anggota PAC.
Peneraju 1MDB itu berkata demikian bagi menyahut cabaran Pua melalui blognya agar mereka mengambil bahagian dalam rancangan bual bicara secara langsung, dengan Pua menjadi pihak yang mengemukakan soalan.
Pada masa sama, Radio Televisyen Malaysia (RTM) bersedia menyiarkan siaran langsung debat mengenai 1MDB antara Arul Kanda dan Tony Pua.
#1Malaysia Development Berhad #1MDB #Arul Kanda #Hishammuddin Hussein #Tony Pua
;