Debat 1MDB: RTM hanya siarkan secara langsung debat Tony dan Arul sahaja - Salleh

Harits Asyraf Hasnan, Hafiz Marzukhi
November 4, 2015 16:40 MYT
SALLEH: Pihak RTM tidak pernah melarang mana-mana pihak yang ingin berdebat. - Gambar Fail
Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Salleh Said Keruak menegaskan Radio Televisyen Malaysia hanya menawarkan siaran langsung debat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) diantara Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua dengan Presiden dan Pengarah Eksekutif Kumpulan 1MDB, Arul Kanda Kandasamy.
"Bukan menarik balik. Oleh kerana tidak ada perbahasan diantara mereka (Tony dan Arul Kanda) lagi, maka dengan sendirinya tidak ada lagi siaran langsung. Bagaimanapun, saya katakan ini tidak bererti RTM tidak akan mempunyai slot untuk forum-forum tertentu," kata Salleh, di Parlimen di sini hari ini.
Ditanya sama ada RTM akan menyiarkan secara langsung debat antara Arul Kanda dan pengganti Tony, jelas Salleh sesiapa sahaja yang akan mengganti Tony bukanlah isu utama.
"Ini bukan soal pengganti, ini bukan antara Pakatan Harapan, DAP dan 1MDB ... ini adalah di antara Tony dengan Arul Kanda. Jadi tidak berbangkit soal pengganti oleh kerana ini adalah dua individu yang telah mencabar satu sama lain," jelas Salleh.
Beliau pada masa sama turut memberi kebenaran kepada mana-mana stesen televisyen yang bersedia untuk menyiarkan siaran langsung debat tersebut.
Mengulas perkara sama, Salleh berkata RTM tidak pernah melarang mana-mana pihak yang ingin berdebat.
Malah, katanya RTM sendiri telah menyediakan satu slot program debat, Demokrasi Mengurus Perbezaan yang akan menampilkan wakil-wakil dari parti politik termasuk badan bukan kerajaan (NGO) bagi membahaskan isu-isu semasa.
Debat 1MDB: Speaker tiada kuasa halang Arul Kanda - Pandikar Amin
"Untuk bulan November ini, kita akan bahaskan satu isu iaitu Tatalaku Berparlimen. Walaupun debat ini (1MDB) tidak ada, tidak bermakna RTM tidak akan terlibat dalam program-program perbahasan," ujarnya.
Katanya, program tersebut akan disiarkan dalam tempoh dua atau tiga minggu lagi.
#1Malaysia Development Berhad #Arul Kanda Kandasamy #debat 1MDB #Radio Televisyen Malaysia #Salleh Said Keruak #Tony Pua
;