Debat 1MDB: Pendebat yang mana akan menang?
Astro Awani
November 7, 2015 08:49 MYT
November 7, 2015 08:49 MYT
Apabila dua pihak berdebat, siapa yang akan menang?
AstroAwani.com membuat satu undian di akaun rasmi Twitter Astro AWANI dan bertanyakan kepada netizen pihak mana yang akan menang – pihak yang petah bicara atau mereka yang berhujah dengan kebenaran?
Undian yang diadakan susulan penganjuran debat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang membabitkan Pengerusi dan Pengarah Kumpulan Eksekutif 1MDB Arul Kanda Kandasamy dan Ahli Jawatankuasa Kira-Kira Negara (PAC), Tony Pua hangat diperkatakan kebelakangan ini.
Dari 3,293 netizen yang sertai undian itu, 73 peratus berpendapat pihak yang berhujah dengan kebenaran akan menang berbanding mereka yang handal petah bicara (27 peratus).
Sementara itu, ada netizen yang berkata bahawa tujuan debat antaranya adalah untuk mencari kebenaran.
Sebelum ini, Presiden Gerakan Keadilan Sedunia (JUST), Dr. Chandra Muzaffar berpendapat bahawa debat 1MDB tidak akan memberi jawapan yang rakyat mahukan.
“Satu debat awam tentang 1MDB antara seorang Ahli Parlimen yang sering bangkitkan pelbagai perkara dan seorang presiden syarikat milik negara tidak akan memberikan jawapan yang dimahukan rakyat," kata Chandra.
Katanya, rakyat mahukan kebenaran dan segalanya tentang aktiviti 1MDB dan anak-anak syarikat sebelum ini dan sekarang.
“Satu debat akan membuat setiap pihak untuk mempertahankan posisi masing-masing, dan tidak akan memberikan kebenaran yang dicari-cari," katanya.
Tambah Chandra, format perbincangan antara Tony Pua dan Arul Kanda tentang fakta dan transaksi kewangan syarikat itu lebih baik dari mengumpul markah debat.
Dalam perkembangan lain, Pakatan Harapan menawarkan Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli sebagai pengganti Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua sebagai pendebat berdepan Presiden 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Arul Kanda Kandasamy.
"Bagi menghormati keputusan Yang DiPertua Dewan Rakyat ( Tan Sri Pandikar Amin Mulia) bahawa YB Petaling Jaya Utara Tony Pua, sebagai Anggota Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), tidak sewajarnya berdebat dengan Pengarah Eksekutif Kumpulan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Arul Kanda Kandasamy, maka Pakatan Harapan dengan ini menawarkan YB Pandan, Rafizi Ramli untuk menggantikan tempat YB Tony Pua," kata Ahli Parlimen Seremban, Anthony Loke yang membacakan kenyataan media bersama oleh Majlis Presiden Pakatan Harapan pada Khamis.