Debat 1MDB: Kenapa Tony Pua diganti? - Ahmad Shabery

Rahimah Abdullah
November 5, 2015 10:41 MYT
AHMAD SHABERY: Terpulang kepada Arul Kanda sama ada untuk meneruskan debat berkenaan atau sebaliknya. - Gambar Fail
Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek mempersoalkan tindakan Pakatan Harapan menawarkan Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli bagi menggantikan Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua untuk berdebat mengenai 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Ia berikutan katanya, Pua sebelum ini yang dilihat bersungguh-sungguh mahu debat itu diadakan.
"Dulu beliau yang nak sangat, kenapa pula sekarang dia serahkan kepada orang lain?," katanya semasa ditemui media selepas menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara di Menara Pertubuhan Peladang di sini hari ini.
Ahmad Shabery yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani bagaimanapun yakin Presiden dan Pengarah Kumpulan Eksekutif 1MDB, Arul Kanda Kandasamy mampu melakukan debat dua penjuru itu.
"Saya percaya Arul Kanda mempunyai kemampuan untuk mengendalikannya. Ertinya di pihak 1MDB mereka tidak ada apa yang rasa gentar dan bimbang," tegas Ahli Parlimen Kemaman itu.
Kata Ahmad Shabery, terpulang kepada Arul Kanda sama ada untuk meneruskan debat berkenaan atau sebaliknya.
"Saya rasa (debat) boleh diteruskan untuk menunjukkan bahawa selama ini tohmahan (terhadapa 1MDB) tidak seperti apa yang digembar-gemburkan. Saya rasa Arul sepatut menerimanya," jelasnya.
Kenyataan media bersama oleh Majlis Presiden Pakatan Harapan menyebut Pakatan Harapan menawarkan Rafizi Ramli menggantikan Tony Pua untuk berdebat dengan Arul Kanda mengenai 1MDB.
Penggantian itu bagi menghormati keputusan Yang DiPertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia bahawa Tony Pua, sebagai Anggota Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), tidak sewajarnya berdebat dengan Arul Kanda.
#1Malaysia Development Berhad #Ahmad Shabery Cheek #Arul Kanda Kandasamy #Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara #Rafizi Ramli #Tony Pua