Debat 1MDB: Arul buat satu keputusan bijak - Shahrir Samad

Harits Asyraf Hasnan, Hafiz Marzukhi
November 5, 2015 09:19 MYT
SHAHRIR: Masa dia (Pua) mencabar pun dia tidak kata Pakatan Harapan sebab dia nak letak diri dia mengambil segala kepentingan. - Gambar Fail
Keputusan yang dibuat oleh Presiden dan Pengarah Eksekutif Kumpulan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Arul Kanda Kandasamy untuk tidak berdebat dengan mana-mana individu merupakan satu keputusan yang tepat.
Ahli Parlimen Johor Bahru Tan Sri Shahrir Samad berkata cabaran yang dilontarkan Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua sebelum ini adalah atas kapasiti individu dan bukan Pakatan Harapan.
"Masa dia (Tony) mencabar pun dia tidak kata Pakatan Harapan sebab dia nak letak diri dia mengambil segala kepentingan dan faedah daripada perbuatan dia.
"Kalau masa dia mencabar (sebelum ini) dia kata ini merupakan satu keputusan daripada Pakatan Harapan, tidak mengapa. Tapi tidak ada. Dia hanya mencabar atas kapasiti peribadi," kata Shahrir yang juga Pengerusi Majlis Ahli Parlimen Barisan Nasional (BNBBC).
Malah, Shahrir menyifatkan tindakan Pua yang melontarkan beban kepada Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli adalah sebagai satu tindakan yang tidak berani.
"Tapi Pua tidak sanggup untuk hilang jawatan, bukan hilang jawatan Ahli Parlimen tetapi hilang jawatan sebagai anggota Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).
"Tidak bermakna bahawa bila Tony Pua yang sendiri mencabar bahawa cabaran itu boleh di francais pada pihak lain," kata Shahrir ketika ditemui di Parlimen, hari ini.
Justeru, Shahrir minta Pakatan Harapan untuk tidak mengambil kesempatan kononnya sesi perbahasan itu merupakan usaha Pakatan Harapan.
Arul Kanda hari ini menegaskan pendiriannya akan hanya berdebat selepas prosiding Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mengenai 1MDB selesai.
Dalam satu kenyataan media, Arul Kanda berkata integriti PAC perlu dihormati dan sebarang debat hanya boleh dijalankan selepas selesai prosiding PAC.
BACA: Drama #Debat1MDB: Adegan menarik yang anda perlu tahu
BACA: Debat 1MDB: RTM hanya siarkan secara langsung debat Tony dan Arul sahaja - Salleh
BACA: Rafizi Ramli ganti Tony Pua, debat 1MDB diteruskan - Pakatan Harapan
#1Malaysia Development Berhad #Arul Kanda Kandasamy #Pakatan Harapan #shahrir samad