DE Rantau: Ketepi birokrasi, jadikan Malaysia destinasi pilihan nomad digital
Harits Asyraf Hasnan
September 13, 2022 14:09 MYT
September 13, 2022 14:09 MYT
BAYAN BARU: Malaysia perlu mengetepikan segala kerenah birkokrasi yang akhirnya menyekat hasrat golongan individu bergelar nomad digital untuk melancong dan bekerja di negara ini.
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata, segala birokrasi tersebut hanya menyebabkan Malaysia ketinggalan dan tidak menjadi pilihan kepada golongan tersebut.
“Apa yang penting adalah jangan sulitkan mereka ini, kita permudahkan mereka.
“Kadangkala wujud birokrasi yang tidak diperlukan atau ditokok tambah, hingga berjela panjangnya.
“Orang nak datang melawat, mereka belum apa-apa lagi sudah ‘give up’ kerana berhadapan kerenah birokrasi seperti untuk mendapatkan visa, infrastruktur kemudahan dan sebagainya.
“Kalau kita (Malaysia) hendak menjadi sebuah negara kompetatif, tolong buang segala ‘red tapes’ yang tidak diperlukan dan permudahkan para pelancong yang memilih destinasi negara kita,” katanya di Pusat Konvensyen Setia Spice, di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika melancarkan DE Rantau iaitu sebuah program bertujuan menjadikan Malaysia sebagai hab pilihan para nomad digital dan seterusnya memangkin penerimagunaan teknologi digital selain menggalakkan mobiliti dalam kalangan warga profesional digital serta pelancongan di Malaysia.
Selain daripada pengenalan Pas Nomad DE Rantau yang memudahkan nomad digital warga luar negara yang layak untuk menetap di Malaysia selama 12 bulan, Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) melalui Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) juga akan mewujudkan sebuah ekosistem berdaya maju bagi mendukung gaya hidup nomad digital yang menginginkan keseimbangan antara kerjaya dan kehidupan.
MDEC yang menerajui inisiatif ini akan menyelia pembangunan hab-hab nomad digital dan ekosistem tempatan agar ia bersesuaian dengan gaya hidup nomad digital.
Kerjasama dijalin dengan para pemain industri bagi menarik para nomad digital melalui pelbagai program capaian (outreach programme) dan kesedaran serta memudahkan urusan permohonan Pas Nomad DE Rantau.
Program ini mengunjurkan sebanyak RM4.8 bilion akan disumbangkan untuk ekonomi dalam negara pada tahun 2025.
Lokasi rintis bagi fasa pertama DE Rantau adalah di Pulau Pinang, Langkawi, Kedah dan Kuala Lumpur.
Di bawah Malaysia Digital (MD), DE Rantau merupakan salah satu daripada pelbagai Program Mangkin Malaysia Digital (PEMANGKIN) yang sedia ada dalam perancangan bagi tahun 2022. Ia bertujuan untuk menjana kesan limpahan buat ekonomi menerusi akses yang saksama ke atas pengetahuan digital serta peluang pendapatan.
Permohonan untuk Pas Nomad DE Rantau akan dibuka mulai 1 Oktober 2022.
Layari https://mdec.my/derantau untuk mendaftar.