DCA belum dapat sahkan serpihan pesawat ditemui di Mauritius milik MH370

Astro Awani
April 4, 2016 21:05 MYT
Serpihan pesawat yang ditemui menyerupai dinding kabin kelas perniagaan dari pesawat jenis MAS Boeing 777. - Foto Twitter Mike Exner
Serpihan yang dipercayai daripada pesawat yang ditemukan di Pulau Rodrigues di Mauritius telah dihantar kepada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam (CAA) Mauritius.
Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA), Datuk Seri Azharuddin Abdul Rahman memaklumkan pihaknya sedang berkomunikasi dengan CAA Mauritius dan usaha sedang dilakukan untuk mendapatkan serpihan itu.
"Serpihan itu dipercayai daripada bahagian dalam sebuah pesawat.
"Bagaimanapun, kami tidak dapat mengesahkan serpihan itu adalah daripada MH370 sehingga ujian terperinci dan analisis dilakukan," kata Azharuddin dalam satu kenyataan.
Menurut Azharuddin Malaysia sebagai peneraju penyiasatan bagi Penyiasatan Keselamatan MH370 telah meminta imej-imej serpihan itu bagi tujuan siasatan lanjut dan pengesahan.
Pada Ahad, pakar Kumpulan Bebas (IG) MH370 Don Thompson memaklumkan satu serpihan dipercayai daripada dalam kabin pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH370 telah ditemukan di sebuah pulau di Mauritius, timur Afrika.
Dalam satu perbandingan Thompson menjelaskan serpihan pesawat yang ditemui menyerupai dinding kabin kelas perniagaan dari pesawat jenis MAS Boeing 777.
Thompson bagaimanapun menegaskan kemasan hiasan pada bahagian tersebut, tidak terhad kepada seksyen kabin kelas perniagaan daripada B777 dan berkemungkinan juga boleh menyerupai dinding dari kelas ekonomi.
Sekiranya terbukti serpihan itu adalah daripada pesawat MH370, adalah penemuan signifikan kerana ia adalah bahagian dalaman pertama ditemui, dan membolehkan lebih banyak keterangan diperoleh bagaimana pesawat itu berakhir di lautan.
Serpihan pesawat itu ditemui oleh sepasang kekasih berasal dari Pulau Reunion, Jean Dominique dan Suzy Vitry ketika bersiar-siar di pantai Pulau Rodrigues.
Sehingga kini, sebanyak enam serpihan pesawat ditemukan yang dipercayai mempunyai kaitan dengan MH370 yang hilang pada 8 Mac 2014 ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing dengan membawa 239 penumpang dan anak kapal.
Pesawat itu kemudiannya diumumkan berakhir di selatan Lautan Hindi dengan usaha pencarian di kawasan seluas 120,000 kolimeter persegi dijangka selesai Jun ini.
#DCA #Jabatan Penerbangan Awam #Kementerian Pengangkutan Malaysia #Liow Tiong Lai #MAS #Mauritius #MH370 #Mozambique #penerbangan Malaysia
;