DBP terjemah karya penyair agung Turkmenistan Magtymguly Pyragy dalam bahasa Malaysia
Umavathi Ramayah
Disember 19, 2024 12:59 MYT
Disember 19, 2024 12:59 MYT
PUTRAJAYA: Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bersetuju untuk menterjemahkan beberapa karya penyair agung Turkmenistan, Magtymguly Pyragy ke dalam Bahasa Malaysia.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Magtymguly yang menyambut ulang tahun kelahiran ke-300 tahun itu terkenal dengan karyanya berkait keadilan, keamanan dan keperibadian yang luhur dalam menentang ketamakan serta penyalahgunaan kuasa.
"Sebagai tanda penghormatan serta kekaguman kami ke atas kepimpinan Presiden dan rakyatnya, Malaysia juga ingin menyampaikan pemahaman dan penghargaan kami terhadap penyair sastera yang kini meraikan ulang tahun ke-300 kelahirannya, Magtymguly Pyragy.
"Magtymguly Pyragy merupakan seorang sasterawan terkenal dan dihormati di Turkmenistan. Saya percaya, jika karya-karya beliau diperluaskan, ia akan menonjolkan komitmen terhadap keadilan, keamanan, dan nilai-nilai murni yang menentang ketamakan serta penindasan.
"Jadi dengan sukacitanya saya memaklumkan bahawa Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bersetuju dan sedang bekerja untuk menterjemahkan beberapa karya hebat penyair ini ke dalam Bahasa Melayu, supaya karya beliau dapat dikenali serta memberi makna yang lebih mendalam di sini," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media bersama Presiden Turkmenistan, Serdar Berdimuhamedow sempena lawatan rasminya ke Malaysia di sini, pada Khamis.
Berdimuhamedow dalam lawatan rasmi dua hari ke Malaysia bermula Rabu dan merupakan lawatan pertamanya ke negara ini sejak dilantik sebagai Presiden Turkmenistan pada Mac 2022.
Dalam pada itu, Anwar memberitahu, langkah itu juga merupakan sebahagian daripada kerjasama yang komprehensif antara negara-negara Islam untuk terus komited terhadap pembangunan dan keamanan sejagat.
Sementara itu, menerusi sidang media bersama, kedua-dua pemimpin menekankan kepentingan meningkatkan kerjasama dua hala dalam bidang pengangkutan, kebudayaan, pendidikan, pelancongan dan sukan, yang akan menyumbang secara positif kepada pengukuhan hubungan kedua-dua negara.
Justeru, bagi mempromosikan hubungan antara rakyat, kedua-dua pemimpin bersetuju untuk memperkukuhkan program pertukaran antara institusi pengajian tinggi dan pusat penyelidikan.