DBP perkenal Lori Ujana Buku sempena Bulan Bahasa Kebangsaan

Nuradilla Noorazam
Oktober 20, 2016 16:22 MYT
Mahdzir (tiga, kanan) melakukan gimik pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan Peringkat Kebangsaan 2016. -Bernama
Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) hari ini melancarkan Lori Ujana Buku, kedai buku mobil yang bakal menjelajah ke seluruh negara.
Ia dilancarkan Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid sempena perasmian Bulan Bahasa Kebangsaan di sini.
Buku-buku terbitan DBP yang dijual melalui lori ini diberi diskaun 30 peratus berbanding harga biasa sempena sambutan tersebut.
Ia akan menjelajah negara dengan Pulau Pinang menjadi destinasi pertama.
Menurut DBP, perkataan 'Ujana' memberi makna 'Taman' di dalam bahasa Sanskrit dan digunakan bagi menambah pengetahuan orang ramai mengenai kosa kata Melayu lama.
Ketua Pengarah DBP, Datuk Abdul Adzis Abas sewaktu ucapan pelancaran mengumumkan pemenang Anugerah Bulan Bahasa Kebangsaan 2016 yang dimenangi Tan Sri Dr Rais Yatim.
Selain itu, DBP turut menganugerahkan hadiah Karya Ilmiah 2016 kepada penulis buku ilmiah bidang Sains Dan Teknologi, Seni, Sains Sosial Dan Kemanusiaan.
Pada tahun ini panel penilai telah memutuskan terdapat dua naskhah buku yang dipilih sebagai pemenang kategori Seni Sains Sosial Dan Kemanusiaan dan dua naskhah untuk kategori Sains dan Teknologi.
Naskhah tersebut berjudul 'Regionalisme dalam Seni Bina Malaysia Era Moden, Pascamoden Dan Global' nukilan Prof Dr Mohd Tajuddin Mohd Rasdi dan Prof Madya Dr Gurupiah Mursib, serta 'Turki Uthmaniah Persepsi dan Pengaruh Dalam Masyarakat Melayu' karya Prof Madya Dr Ermy Azziaty Rozali.
#Abdul Adzis Abas #DBP #Dewan Bahasa dan Pustaka #Lori ujana buku
;