DBP, MPM Gubal ujian kecekapan Bahasa Melayu warga asing
Bernama
Disember 17, 2014 08:00 MYT
Disember 17, 2014 08:00 MYT
Ujian Kecekapan Bahasa Melayu bakal digubal untuk pelajar asing agar mereka menguasai Bahasa Melayu untuk pelbagai tujuan.
Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) bersetuju untuk bekerjasama menggubal ujian dan kursus berkaitan.
Satu memorandum persefahaman (MoU) ditandatangani di sini pada Selasa bagi tujuan tersebut antara Ketua Pengarah DBP Datuk Dr Awang Sariyan dengan Ketua Eksekutif MPM Dr Jamil Adimin.
Awang berkata kertas cadangan mengenai Sijil Kecekapan Bahasa Melayu Untuk Warga Asing (SKBMWA) itu akan dikemukakan kepada pihak pengurusan tertinggi Kementerian Pendidikan awal tahun depan untuk dibawa ke Kabinet untuk pertimbangan.
"Jika Kabinet luluskan dasar Ujian Kecekapan Bahasa Melayu Untuk Warga Asing, berkemungkinan ia dapat diperkenalkan pada sesi akademik September 2015," katanya dalam sidang media selepas majlis itu.
Awang berkata tempoh perintis selama satu hingga dua tahun akan dilaksanakan untuk pengenalan ujian itu sebelum dijadikan pra-syarat kepada pelajar asing menuntut di Malaysia pada masa hadapan.
"Langkah ini adalah sama seperti pelajar asing di Jerman yang perlu belajar Bahasa Jerman selama setahun, pelajar asing di China yang perlu belajar Bahasa Mandarin selama setahun dan pelajar asing di Jepun perlu menguasai Bahasa Jepun dalam masa enam bulan," katanya.
Awang berkata pelajar yang lulus ujian berkenaan akan diberi SKBMWA.
Jamil dalam ucapannya pada majlis itu berkata matlamat SKBMWA ialah untuk memastikan bahawa warga asing berketrampilan menggunakan Bahasa Melayu untuk pelbagai tujuan dan memartabatkan Bahasa Melayu di peringkat antarabangsa.
Beliau berkata ujian berkenaan meliputi empat komponen kemahiran iaitu menulis, membaca, mendengar dan bertutur.