DBP laksana 31 penyelidikan martabat BM
Sinar Harian
Oktober 26, 2018 06:32 MYT
Oktober 26, 2018 06:32 MYT
Sebanyak 31 buah penyelidikan dan inovasi telah dilaksanakan sepanjang tahun ini di bawah Inisiatif 108 Pemartabatan Pendidikan Bahasa Melayu.
Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk Abdul Adzis Abas berkata, inisiatif berkenaan merupakan program penyelidikan dan inovasi di mana DBP melaksanakan pendokumentasian, pembudayaan dan penerbitan bahasa, sastera dan budaya Melayu, bagi memartabatkan pendidikan bahasa Melayu.
Menurutnya, penyelidikan dan inovasi berkenaan menyumbang kepada perkembangan bahasa di dunia dengan menyebarluaskan penggunaan, bahasa, sastera dan budaya Melayu.
"31 kumpulan penyelidikan terlibat antaranya Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Dato Razali Ismail (Terengganu), Universiti Utara Malaysia, Universiti Malaya, Universiti Pendidikan Sultan Idris (Upsi), IPG Kampus Gaya dan IPG Kampus Ipoh.
"Sebanyak 20 penyelidikan berkait Kerangka Standard Bahasa Melayu dan 11 inovasi dalam pendidikan Bahasa Melayu," katanya sempena Majlis Perasmian Seminar Kebangsaan Penyelidikan dan Inovasi, Inisiatif 108: Pemartabatan Pendidikan Bahasa Melayu di Hotel Seri Pacific di sini malam tadi.
Abdul Adzis berkata, dalam seminar berkenaan, sebanyak 56 buah kertas kerja dibentangkan.
Menurutnya, DBP komited menggalas tanggungjawab menjadikan penyelidikan dan inovasi sebagai salah satu agenda utamanya.
"DBP berupaya menjadi Pusat Kecemerlangan Bahasa Melayu yang menjadi rujukan pelbagai pihak seluruh dunia," katanya.
Turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Pendidikan Malaysia, Datuk Jamil Rakon mewakili Menteri Pendidikan, Maszlee Malik.
#Abdul Adzis Abas
#Bahasa Melayu
#DBP
#Inisiatif 108
#inovasi
#IPG
#Kementerian Pendidikan
#kertas kerja
#Maszlee Malik
#penyelidikan
#Pusat Kecemerlangan Bahasa Melayu