DBKL yakin KL Park Festival 2023 dapat sambutan

Bernama
Mac 3, 2023 18:56 MYT
DBKL menyasarkan lebih 100,000 pengunjung akan hadir ke KL Park Festival 2023 yang berlangsung hingga 12 Mac ini bermula 9 pagi hingga 10 malam. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yakin acara Kuala Lumpur Park Festival 2023 (KL Park Festival 2023) yang berlangsung bermula esok di Taman Tasik Titiwangsa, di sini mendapat sambutan meskipun keadaan cuaca kini tidak menentu.
Pengarah Jabatan Pembangunan Landskap dan Rekreasi DBKL Zulkifli Endut berkata ini mengambil kira tempoh musim cuti sekolah yang sedang berlangsung selain lokasi yang strategik.
"Jika tiada sebarang acara dijalankan di sini (Taman Tasik Titiwangsa), taman ini sememangnya sentiasa mendapat tumpuan ramai untuk beriadah.
"Kita (DBKL) juga sediakan hingga 1,000 petak parkir termasuk di kawasan Istana Budaya, Balai Seni Negara dan Klinik Kesihatan Kuala Lumpur dengan penyediaan 'shuttle' (kenderaan ulang-alik) bagi membawa pengunjung ke lokasi acara," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Pratonton bersama Media sempena KL Park Festival 2023 di sini hari ini.
Sebelum ini, DBKL menyasarkan lebih 100,000 pengunjung akan hadir ke KL Park Festival 2023 yang berlangsung hingga 12 Mac ini bermula 9 pagi hingga 10 malam.
Zulkifli berkata persiapan terakhir bagi acara KL Park Festival 2023 sudah mencapai tahap hampir 95 peratus, sebelum dibuka kepada umum.
"Hanya beberapa kerja menaik taraf dan penambahbaikan dari sudut hiasan yang perlu dibuat seperti pembersihan tapak dan kemasan landskap," katanya.
Beliau berkata KL Park Festival 2023 bertemakan 'Laman Seni dan Flora Malaysia' bakal mempertontonkan pelbagai bunga-bungaan dan tumbuh-tumbuhan rasmi bandar-bandar di seluruh negara, yang dipersembahkan dalam bentuk laman berunsurkan seni.
-- BERNAMA
#DBKL #Istana Budaya #KL Park Festival 2023 #Zulkifli Endut
;