DBKL tutup 18 rumah urut, hotel terlibat aktiviti pelacuran

Bernama
Februari 12, 2021 16:11 MYT
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menutup 18 premis melibatkan hotel dan rumah urut yang menjalankan aktiviti pelacuran, dalam operasi sejak awal tahun hingga semalam. - Gambar hiasan/Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menutup 18 premis melibatkan hotel dan rumah urut yang menjalankan aktiviti pelacuran, dalam operasi sejak awal tahun hingga semalam.
Pengarah Jabatan Penguatkuasaan DBKL Osman Ismail berkata tindakan itu dilakukan di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976 dan Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (WPKL) 2016 serta mengikut bidang kuasa serta prosedur operasi standard DBKL dan polis.
"Penutupan tiga hotel dan 15 pusat urut ini juga melibatkan (tindakan) tiga Notis Pemberitahu Kesalahan Akta Hotel,15 notis kompaun kesalahan serta sitaan terhadap 287 pelbagai jenis barangan dalam premis," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata dalam operasi tindakan khas dengan kerjasama polis malam tadi di Jalan Langkawi, Setapak dan Jalan Kuchai Maju, Seputeh; tiga premis didapati tidak mempunyai lesen perniagaan rumah urut, dan susulan itu tiga notis kompaun dikeluarkan, dan premis berkenaan ditutup serta merta.
Katanya operasi berkenaan turut menyaksikan 19 struktur dinding yang dijadikan bilik tanpa kelulusan dirobohkan, selain tindakan menyita 77 pelbagai peralatan premis seperti tilam, tuala, monitor, perakam kamera litar tertutup (CCTV), CCTV dan kondom.
"Hasil semakan di semua premis berkenaan mendapati 11 wanita tukung urut (disyaki pekerja seks) warganegara Filipina, Thailand, Indonesia dan lima orang warga tempatan sebagai penjaga premis, ditahan untuk tindakan lanjut polis setelah diambil keterangan serta proses dokumentasi oleh DBKL," katanya.
Tambahnya orang ramai boleh menyalurkan sebarang aduan barkaitan kegiatan tidak bermoral seperti ini secara atas talian menerusi: http://ispaaadbkl.dbkl.gov.my/eApps/system/index.do
-- BERNAMA
#DBKL #hotel rumah urut #pelacuran #Pengarah Jabatan Penguatkuasaan DBKL #Osman Ismail
;