DBKL tolak permohonan penganjuran 'Better Beer Festival 2017'
Bernama
September 18, 2017 14:40 MYT
September 18, 2017 14:40 MYT
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) hari ini menolak permohonan penganjuran 'Better Beer Festival 2017' yang dijangka diadakan pada 6-7 Okt ini.
DBKL dalam kenyataannya berkata pihaknya telah menerima permohonan daripada pihak penganjur pada 28 Ogos untuk menjalankan aktiviti tersebut di Solaris Damansara dari pukul 2 petang hingga 11 malam.
"Bagaimanapun DBKL telah membuat keputusan untuk menolak permohonan penganjuran aktiviti tersebut pada tarikh, masa dan tempat yang dinyatakan.
"Sekiranya pihak penganjur meneruskan aktiviti tersebut tanpa kebenaran DBKL, tindakan lanjut mengikut peruntukkan undang-undang yang sedia ada akan diambil," kata kenyataan itu.
Penganjuran pesta itu sebelum ini dibantah keras oleh PAS yang turut menggesa para mufti segera mengeluarkan fatwa dan pandangan khusus berhubung penganjuran aktiviti seumpama itu sebagai panduan dan arahan kepada kerajaan.
-- BERNAMA